MAN UNITED 1 CRYSTAL PALACE 2

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, tidak mampu berkata apa-apa selepas giliran Marcus Rashford mengalami serangan perkauman di media sosial semalam.


Rashford gagal menjaringkan sepakan penalti dalam separuh masa kedua ketika United tewas 2-1 kepada Crystal Palace di Old Trafford -- kekalahan pertama mereka bagi musim ini.

The Red Devils ketinggalan menerusi jaringan Jordan Ayew dan Rashford gagal menggunakan peluang untuk menyamakan kedudukan apabila sepakan penaltinya menggegar tiang gol, lima hari selepas Pogba gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika seri 1-1 dengan Wolves.

Pogba telah dihujani serangan berunsur perkauman di media sosial selepas gagal meledak jaringan kemenangan buat pasukan dan kini giliran Rashford pula selepas tewas kepada The Eagles.

Solskjaer telah meminta syarikat Twitter untuk mengambil tindakan dan cuba menutup akaun palsu selepas isu melibatkan Pogba dan dia sekali lagi meminta mereka untuk bertindak lebih drastik.

Bercakap selepas tamat perlawanan, Solskjaer memberitahu, "Ia adalah perkara yang sama seperti sebelum ini; mesej berunsur perkauman ini harus dihentikan.

"Saya tidak mampu berkata apa-apa. Kempen untuk menangani isu ini telahpun dimulakan, namun masih terdapat banyak akaun palsu. Ia merupakan sesuatu yang tidak masuk akal bercakap hal ini pada 2019."

United menyamakan kedudukan menerusi Daniel James sebelum Patrick van Aanholt memastikan kemenangan buat pelawat dalam masa kecederaan.

Skuad kendalian Solskjaer itu seterusnya akan berdepan Southampton di Stadium St Mary, Sabtu depan.