Ole Gunnar Solskjaer sedar tanggungjawab yang perlu dipikul susulan prestasi buruk Manchester United selepas tewas 1-0 di tangan Newcastle United, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Solskjaer, United, menanggung kekalahan ketiga liga dan kini menduduki tangga ke-12, hanya dua mata dibezakan dengan zon penyingkiran selepas hanya menyumbat sembilan gol.

United hanya mengutip 17 mata daripada 16 perlawanan sejak dia dilantik selaku pengurus tetap Mac lalu susulan prestasi memberangsangkan sejak menggantikan Jose Mourinho dan Solskjaer sedar dia perlu mengubah situasi dalam pasukan.

"Kami kecewa. Kami kekurangan pemain utama tetapi itu bukan alasan," kata Solskjaer yang menafikan ketiadaan Paul Pogba, Anthony Martial dan Luke Shaw akibat kecederaan menjadi punca selepas jaringan dalam penampilan sulung Matt Longstaff memberikan mereka kekalahan.

"Pemain berusaha keras tetapi ketika ini, kami berada dalam situasi yang tidak sepatutnya. Sesetengah pemain kurang daripada segi penglibatan dan kami tidak mencipta peluang yang cukup untuk menang. Mereka bersatu tetapi tidak mencipta sebarang perkara.

"Kami bernasib baik memiliki tempoh rehat antarabangsa. Kami mempunyai masa untuk menilai di mana kami berada selepas lapan perlawanan. Kami akan duduk sambil mengharapkan sesetengah pemain kembali.

"Ia tanggungjawab saya. Saya perlu menyelesaikannya. Pemain muda kurang yakin, mereka perlukan bantuan daripada kelompok berpengalaman serta staf pasukan.

"Mereka hanya manusia dan mahu melakukan yang lebih baik. Mereka perlu melihat keputusan hasil usaha keras dan kami tidak mencapainya, jadi kami perlu menanggungnya.

"Babak pertama menjadi persembahan terburuk. Dalam separuh masa kedua, kami mendominasi tetapi tidak mencipta sebarang ancaman.

"Kami tidak banyak berubah. Kami beraksi dengan corak sama dan tersepit dengan prinsip pasukan. Pemain bekerja keras.

"Kami mengutip enam mata sejak menewaskan Chelseaa 4-0 dan ia memberi kesan. Namun, kami berusaha keras untuk bangkit mendapatkan kualiti."