Ole Gunnar Solskjaer mendedahkan dia sememangnya mengidamkan untuk menguruskan Manchester United dan percaya dia boleh menjadi pengurus yang lebih baik berbanding ketika bergelar pemain.

Solskjaer memberikan sentuhan mengagumkan untuk mengubah nasib United apabila membimbing kelab itu meraih 14 kemenangan daripada 17 perlawanan sejak memangku jawatan itu daripada Jose Mourinho, Disember lalu.

Pemain Norway itu dijangka akan ditawarkan jawatan sebagai pengurus sepenuh masa United, terutama selepas melihat mereka melewati Paris Saint-Germain (PSG) dalam kebangkitan Liga Juara-Juara (UCL) yang menakjubkan.

Solskjaer, yang akan berkunjung ke Arsenal awal pagi esok, berkata dia kini berada dalam kedudukan yang selalu diimpikannya.

"Saya fikir saya secara diam-diam mahu melakukan tugasan seperti yang saya lakukan sekarang," katanya.

"Saya mungkin lebih percaya bahawa kemampuan saya sebagai jurulatih dan pengurus lebih bagus daripada ketika menjadi pemain memandangkan saya mengambil masa beberapa tahun untuk mencapai tahap yang saya mahukan sebagai pemain."

Solskjaer menikmati kerjaya sebagai pemain dengan menjulang enam gelaran Liga Perdana serta menjaringkan gol kemenangan untuk United dalam kejayaan UCL 1999.

Ditanya sama ada menguruskan pasukan lebih memuaskan, pengurus berusia 46 tahun itu berkata kedua-duanya mempunyai cabaran tersendiri.

"Kedua-duanya kerana perkara terbaik di dunia adalah bermain bola sepak, itulah tugasan terbaik yang pernah wujud," katanya.

"Anda hanya memberi tumpuan kepada diri sendiri, gaya hidup sendiri, berikan usaha seperti yang diminta oleh pengurus, menjalani latihan, berehat, pulih, melakukan segala tugas yang diberikan dengan kemampuan yang dimiliki dan menikmatinya.

"Sudah tentu, saya berasa terhormat dan istimewa untuk menjadi orang yang boleh membuat keputusan.

"Dan saya fikir saya sememangnya sudah bersedia sepanjang hidup ini untuk membuat keputusan seperti ini.

"Ini kerana sejak kecil lagi, saya sudah terlibat dalam permainan komputer dengan membentuk sebuah pasukan yang memiliki pemain hebat seperti Zico, (Diego) Maradona dan (Marco) van Basten. Mereka ada dalam kesemua pasukan permainan komputer yang saya kemudikan."