Ole Gunnar Solskjaer mengesahkan Paul Pogba tidak dapat diturunkan dalam aksi Manchester United berdepan Tottenham dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi esok.

Jose Mourinho kembali ke Old Trafford bersama Spurs mencari kemenangan keempat dalam kesemua kejohanan sejak mengambil alih pasukan tersebut.

United berharap untuk menyaksikan semula kelibat Pogba dalam perlawanan itu, namun pemain kebangsaan Perancis itu masih lagi belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali.

"Pogba masih belum bersedia," kata Solskjaer.

"Dia masih lagi berlatih, tidak bersama pasukan, jadi kami akan menilai keadaannya."

Ditanya mengenai Scott McTominay dan Nemanja Matic yang turut cedera, Solskjaer berkata, "Mereka mungkin diturunkan.

"Kami akan berlatih terlebih dahualu dan melihat perkembangan kedua-duanya. Kami perlu menghadapi lebih banyak perlawanan selepas ini dan tidak boleh terlalu fokus terhadap satu perlawanan. Kami perlu melihat kepada jangka masa panjang.

"Saya tidak mahu bercakap mengenai kecederaan tetapi ketika anda dapat menurunkan semula McTominay, dapat menurunkan Pogba, United ketandusan pemain yang mampu mengisi bahagian tengah dan ia telah memberi kesan kepada pasukan sejak beberapa bulan lalu."

Solskjaer tidak dapat menurunkan Pogba sejak seri 1-1 dengan Arsenal penghujung September lalu.

United, yang sekadar menang lima daripada 12 perlawanan tanpa kelibat tiga tonggak tengah itu, menambah lagi tekanan ke atas pengurus kelahiran Norway itu.

Pengendali EPL seperti Unai Emery, Mauricio Pochettino dan Quique Sanchez Flores kehilangan tugas tetapi Solskjaer tidak bimbang apa yang perlu ditempuhinya.

"Tidak logik buat saya untuk berasa bimbang. Saya cuba memberikan tumpuan kepada tugas saya dan melakukannya dengan sebaik mungkin. Kami akan melihat ke hadapan, mencari jalan untuk merangka pelan jangka panjang."

"Sukar untuk menyaksikan rakan-rakan anda kehilangan tugas dalam tempoh masa yang singkat. Kadangkala anda memerlukan tuah, namun apa yang telah berlaku tidak membimbangkan saya."