Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, percaya Marcus Rashford mahu mencapai tahap yang sama seperti bintang Tottenham, Harry Kane.

Rashford menyerlah di bawah pimpinan Solskjaer yang mengambil alih tugas Jose Mourinho, dengan menjaringkan tiga gol dalam lima penampilan setakat ini.

Solskjaer melihat tiada apa yang mustahil buat Rashford untuk tidak mencapai tahap yang sama seperti rakan senegaranya, Kane, yang dijangka berada dalam kesebelasan utama di Wembley esok untuk berdepan United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Dia mampu menjadi penyerang yang berkualiti tinggi," kata Solskjaer.

"Kami boleh bercakap mengenai kemampuan Kane dan saya pasti Rashford juga memiliki potensi untuk mencapai tahap yang sama.

"Dia sangat pantas dan dalam proses meningkatkan kekuatan fizikalnya."

Solskjaer, yang membawa skuad United ke Dubai untuk kem latihan beriklim panas selepas merakamkan kemenangan 2-0 ke atas Reading dalam saingan Piala FA, optimis dengan Rashford -- yang hadir menerusi akademi United -- akan berjaya satu hari nanti.

"Dia telah dibesarkan di sini dan beberapa lagi pemain muda sudah berada dalam skuad utama.

"Tahith Chong, Angel Gomes dan Rashford, mereka beraksi bersama-sama dengan corak permainan yang sama dan saya sangat teruja memimpinnya."