Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, mempertahankan Harry Maguire untuk bergelar kapten dalam tempoh yang panjang selepas menyarung lilitan ketua pasukan ketika menang 3-1 ke atas Brighton and Hove Albion semalam.

United mengesahkan kemenangan di Old Trafford itu tatkala pelawat dilihat bernasib baik tidak tewas dengan jurang gol yang besar.

Maguire, yang mengetuai pasukan dan dilihat mengawal persembahan dari barisan bawah, meneruskan prestasi ampuh sejak hadir daripada Leicester City menerusi yuran perpindahan GBP80 juta (RM423 juta).

Bek tengah itu bergelar kapten susulan ketiadaan Ashley Young dan Solskjaer berpendapat Maguire berpotensi untuk peranan utama itu dalam beberapa tahun akan datang.

"Maguire telah tiba dan membuatkan bilik persalinan menjadi bagus, begitu juga di atas padang," katanya.

"Dia boleh jadi kapten jangka panjang."

Satu-satunya perkara yang merencatkan kemenangan United adalah kecederaan buku lali yang dialami Scott McTominay pada lewat permainan hingga dia terpaksa meninggalkan padang dalam kesakitan.

Walaupun dia tampak meninggalkan padang hasil bantuan staf perubatan United tetapi dilihat terpaksa diusung keluar selepas itu.

Namun, Solskjaer masih belum dapat memberitahu sebarang perkembangan dan menunggu sehingga imbasan dilakukan hari ini.

"Dia mengalami kesakitan di bahagian buku lali," katanya.

"Kadangkala itu yang paling sakit. Saya pernah mengalaminya, berehat selama lapan minggu tetapi kadangkala sudah kembali dalam dua minggu. Saya tidak tahu.

"Dia akan menjalani imbasan penuh hari ini dan kami akan melihat. Dia letakkan ais di situ dan tampak begitu sakit. McTominay bukan pemain yang mudah menunjukkannya.

"Dia tidak berguling kerana itu petanda dia cedera. Semua pemain yang berguling tidak mengalami kecederaan."