Solskjaer percaya United di landasan tepat

Oleh Staff Writer 14 September 2019 185
Solskjaer percaya United di landasan tepat
Ole Gunnar Solskjaer menegaskan Manchester United masih di landasan tepat dan pengurus itu mahu membuktikannya dengan keputusan yang lebih baik.

Pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris itu hanya memenangi tiga daripada 16 aksi kompetitif terakhir menjelang pertemuan dengan Leicester City di Old Trafford malam ini.

Walaupun dengan rekod seburuk itu, Solskjaer -- yang mengambil alih pasukan sejak Disember lalu -- melihat dia tidak perlu mengubah sebarang pendekatannya di United.

"Sentiasa ada tekanan apabila anda di sini, namun sudah pasti saya yakin dengan apa yang kami sedang lakukan," katanya kepada akhbar United Kingdom (UK).

"Kami mempunyai perancangan dan persembahan kami tidak menunjukkan bahawa kami perlu mengubah haluan.

"Tentang keputusan, ia satu perkara lain, namun apabila anda dibolosi tiga gol daripada empat percubaan lawan, tidak banyak yang anda boleh kawal.

"Terdapat perlawanan yang kami sepatutnya menang.

"Kami tahu apa yang berlaku tetapi ia perkara berbeza.

"Kami boleh mengawal cara kami bermain, cara kami berlatih dan cara kami bersedia," katanya.

United kini berada di tangga kelapan liga, ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu, Liverpool, dan lima mata di belakang Manchester City.

Ketika pasukan di tangga ketiga, Leicester, berpotensi menjadi pencabar mereka dalam merebut kedudukan empat teratas musim ini, Solskjaer lebih memilih untuk fokus terhadap pasukannya.

"Saya tidak mahu bercakap banyak tentang Leicester.

"Saya melihat mereka sebagai pasukan yang baik.

"Saya melihat Man United sebagai pasukan terbaik di dunia, itu sahaja.

"Saya pasti mereka mahu menduduki empat tangga teratas seperti kami," tambahnya. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen