Ole Gunnar Solskjaer berkata dia mempunyai banyak sebab untuk kekal yakin walaupun Manchester United berdepan rekod permulaan paling buruk dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.

United terikat 1-1 dengan Arsenal di Old Trafford awal pagi tadi, yang menyaksikan The Red Devils hanya meraih dua kemenangan dan sembilan mata daripada tujuh perlawanan pertama musim ini.

Gol rembatan jarak jauh gemilang Scott McTominay dalam babak pertama dipadamkan Pierre-Emerick Aubameyang menjelang sejam perlawanan untuk United keciciran 12 mata sepanjang musim ini.

United hanya memenangi satu daripada enam perlawanan terakhir liga sejak menewaskan Chelsea dalam perlawanan pembukaan, namun Solskjaer berkata kepada wartawan: "Terdapat banyak perkara yang meningkatkan keyakinan saya.

"Kita boleh bercakap mengenai prestasi tetapi hanya keputusan yang lebih penting.

"Anda boleh bercakap mengenai keputusan, saya boleh bercakap mengenai enam daripada tujuh prestasi yang baik.

"West Ham, kami sedar kami beraksi di bawah tahap sebenar (tewas 0-2) tetapi ia tidaklah seburuk seperti yang anda semua katakan," katanya.

Solskjaer, yang tidak dapat menurunkan Anthony Martial dan Aaron Wan-Bissaka dalam pertembungan di Old Trafford itu, menambah: "Kami tidak dapat melepasi halangan dengan cepat dalam babak kedua.

"Saya berasa seperti Arsenal lebih proaktif hingga mereka menjaringkan gol.

"Saya rasa kami boleh menjaringkan gol pada lewat permainan dan kami meletakkan pemain di bahagian serangan.

"Saya pernah melalui situasi itu ketika bergelar pemain dan anda akan keluar dari kawasan anda kerana menyangkakan mampu meraih lebih jaringan, namun kami akan belajar daripada kesilapan ini," katanya.

United dibolosi Arsenal dalam situasi kontroversi apabila video bantuan pengadil (VAR) membenarkan jaringan penyamaan Aubameyang pada minit ke-58.

Pemain kebangsaan Gabon itu didapati berada di kedudukan ofsaid oleh penjaga garisan, namun mengekalkan ketenangannya untuk mengejar hantaran Bukayo Saka dan menewaskan penjaga gol United, David de Gea.

Namun, dia perlu menunggu VAR menyanggah kuputusan penjaga garisan berkenaan dengan ulang tayang jelas menunjukkan kedudukan Harry Maguire meletakkannya di posisi yang tidak ofsaid selepas Axel Tuanzebe kehilangan bola.

"Ashley (Young) mengangkat tangannya.

"Dia terus memandang kepada penjaga garisan dan berasa ragu-ragu ketika boleh melakukan hadangan.

"Ia mungkin dapat membantu David tetapi tiada apa dapat dilakukan lagi.

"Ia jelas gol, penjaga garisan sepatutnya tidak perlu mengangkat bendera," tambahnya.