Solskjaer: Martial mampu capai tahap Ronaldo

Oleh Staff Writer 11 Februari 2019 2180
Solskjaer: Martial mampu capai tahap Ronaldo
Anthony Martial mampu mencapai tahap seperti Cristiano Ronaldo, kata pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer.

Martial semakin menyinar sejak Solskjaer menggantikan Jose Mourinho, Disember lalu.

Penyerang Perancis itu menjaringkan golnya yang ke-11 musim ini ketika membantu United membenam Fulham 3-0, kelmarin.

Pemain berusia 23 tahun itu menghasilkan gol solo gemilang dengan bekas kapten United, Gary Neville, turut menyamakan jaringan itu dengan gerakan sama yang dilakukan Ronaldo di Old Trafford, 12 tahun lalu.

Solskjaer bersetuju dengan perkara itu dan mencabar Martial untuk mengejar tahap tertinggi seperti pemenang lima kali Ballon d'Or itu.

"Ia hampir ke penghujung perlawanan, kami beraksi dengan buruk dan Ronaldo menjaringkan gol buat kami," kata Solskjaer.

"Dia (Martial) mempunyai persamaan itu.

"Jika dia mahu berada di tahap seperti Ronaldo, dia tahu apa yang perlu dilakukan.

"Segala-galanya terpulang kepadanya. Dia mempunyai bakat."

Mengenai jaringan Martial itu, Solskjaer menambah: "Jika anda melihat jaringan itu dan melihat kepada kedudukan awal di mana dia berada, dia tidak meninggalkan tugas bertahan.

"Dia berada di tengah-tengah bahagian kami ketika memenangi bola dan membawanya sejauh 20 ela, jadi dia tidak meninggalkan tugasan bertahan.

"Dia sedar dia perlu melakukan tugas-tugas itu, namun dia mempunyai kualiti untuk naik ke atas.

"Dia amat pantas dan stabil, rentaknya dan segala-galanya tentang dia.

"Apabila anda seorang pertahanan sayap, anda pasti tidak mahu berdepan dengannya.

"Dia tahu peranannya untuk bertahan," tambahnya.

Martial dilaporkan akan meninggalkan United sebelum Mourinho dipecat, namun bintang The Red Devils itu menandatangani kontrak lanjutan selama lima tahun, bulan lalu.

"Saya gembira dia berada dalam pasukan saya," kata Solskjaer.

"Dia telah banyak menyumbang kepada pasukan ini.

"Dia merupakan pemain Manchester United, dia membuatkan penonton teruja, membuatkan saya teruja dan rakan-rakannya teruja.

"Dan dia sentiasa memaparkan perwatakan yang hebat."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen