Ole Gunnar Solskjaer mengakui dia gembira musim yang dilalui Manchester United telah tamat selepas mengharungi kempen buruk.

United mempamer kebangkitan sejak ketibaan Solskjaer selaku pengurus sementara pada Disember lalu dan tampak memberi saingan untuk mencabar kedudukan empat teratas serta mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Namun, persembahan longlai menyaksikan kelab dari Old Trafford itu menamatkan kempen musim ini tanpa kemenangan dalam enam perlawanan terakhir bagi semua kejohanan dan akhirnya berada di tempat keenam.

Solskjaer yang menggantikan Jose Mourinho buat sementara akhirnya dilantik selaku pengurus tetap pada Mac lalu selepas permulaan hebat dan tanpa berselindung, dia gembira menyambut akhir musim.

"Kami sangat teruk. Kami banyak mencetuskan masalah buat diri sendiri di penghujung musim," katanya selepas kekalahan 2-0 di tempat sendiri di tangan pasukan yang tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris, Cardiff City.

"Ia mengecewakan tetapi apa yang bagus, musim telah tamat.

"Kami boleh melupakannya dan teruskan kemaraan. Kami sedar kami jauh ketinggalan berbanding tempat sepatutnya.

"Pemain telah melalui tempoh yang sukar. Mereka adalah pemain hebat tetapi menuju akhir musim, secara mental dan fizikal, mereka penat.

"Kebiasaannya, berbekalkan keyakinan, anda akan memenangi perlawanan. Pemain paling yakin adalah Mason Greenwood (pemain 17 tahun dengan penampilan penuh pertama). Sesuatu yang hebat untuk melihatnya beraksi.

"Ia memberi penyokong, saya serta pemain satu semangat. Mungkin hanya itu dan Scott McTominay yang memberi kelegaan kepada kami."

Solskjaer berulang kali mengingatkan bahawa musim depan mungkin United belum mampu mencabar kejuaraan liga tetapi dia tetap mahu membawakan trofi buat pasukannya.

"Kali terakhir kami di pentas Liga Europa, kami bersama Mourinho dan sebilangan besar pemain yang ada pada hari ini dan kami menjuarainya," ujar Solskjaer.

"Bersama Piala FA dan Piala Liga, itu adalah trofi yang kami mahu sasarkan pada musim depan."