Pemain tengah Manchester United, Ander Herrera, percaya Ole Gunnar Solskjaer akan membawa kejayaan kembali ke kelab itu.

Herrera, 29, mengesahkan bahawa dia akan meninggalkan Old Trafford musim panas ini setelah berkhidmat selama lima tahun di bawah tiga pengurus -- Louis van Gaal, Jose Mourinho dan Solskjaer.

Pengurus semasa itu menikmati permulaan yang baik pada awalnya tetapi prestasi United mula mengalami kemerosotan besar dalam dua bulan terakhir ini, namun Herrera yakin kelab itu mempunyai pemain yang tepat untuk memacu mereka.

"Saya mempunyai keyakinan tinggi terhadap Ole," katanya kepada laman sesawang rasmi kelab itu.

"Saya amat mempercayai kemampuan Michael (Carrick), Kieran (McKenna), Mike Phelan dan Demps (Mark Dempsey) tetapi saya fikir mereka menghadapi tugas sukar.

"Mereka memerlukan masa tetapi kejayaan tidak akan berlaku pada hari pertama.

"(Solskjaer) adalah salah seorang daripada pengurus terbaik yang pernah saya temui dalam bola sepak. Semua orang di dalam bilik persalinan menyenanginya.

"Apabila anda mendapat sokongan padu daripada pemain dan mereka ingin berjuang untuk anda, sebahagian daripada tugas itu telah dibereskan.

"Saya percaya kepada karma dan jika anda seorang yang baik, jujur ​​dan ikhlas dengan pemain dan peminat, lambat-laun ia akan berhasil.

"Saya fikir Ole adalah orang yang tepat kerana dia mempunyai kualiti dan pengetahuan, malah dia juga adalah seorang individu yang hebat."

Herrera mendedahkan penyesalan terbesarnya ketika ini adalah tidak pernah mengecapi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) sepanjang kariernya di Old Trafford.

"Ini adalah kelab agung dan terbesar di England, adalah menjadi impian saya untuk memenangi liga. Saya pernah memenangi beberapa trofi tetapi kejayaan liga adalah sesuatu yang saya mahu menangi," katanya.

"Saya telah berada di sini lima tahun tetapi ia bukanlah tempoh yang paling berjaya. Biarpun berdepan tempoh yang buruk, kami berjaya memenangi beberapa piala.

"Saya harap tanggapan saya silap dan Manchester United akan memenangi liga pada masa akan datang tetapi kelab memerlukan masa untuk menjayakannya."