TOTTENHAM 0 MAN UNITED 1

David de Gea menyanjung pengendali sementara, Ole Gunnar Solskjaer, kerana mengembalikan "Manchester United sebenar" dan menghadirkan "kegembiraan" dalam permainan mereka ketika meraih kemenangan 1-0 ke atas Tottenham, awal pagi tadi.


Ia dianggap sebagai ujian penting buat Solskjaer ketika United bertandang ke Wembley selepas mengambil alih tugas daripada Jose Mourinho bulan lalu.

Sebelum ini, United telah menewaskan kelab bawahan -- Cardiff City, Huddersfield Town, Bournemouth dan Newcastle United -- dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Reading dalam Piala FA.

United sememangnya tidak diberikan peluang ketika melakar kemenangan ke atas Spurs tetapi telah beraksi habis-habisan dan diancam dengan percubaan bertubi-tubi daripada tuan rumah, namun Marcus Rashford berjaya mencari jalan untuk mendahului permainan sebelum tamat separuh masa pertama.

De Gea, yang diangkat sebagai bintang yang menyerlah dalam perlawanan itu selepas menafikan 11 percubaan Spurs, menyanjung Solskjaer di atas peningkatan serta tuah buat United sejak menggantikan Mourinho.

"Solskjaer telah menghadirkan kegembiraan kepada pasukan," kata De Gea kepada Sky Sports. "Pemain-pemain bermain dengan baik dan pasukan semakin kuat.

"Kami mahu mengetahui bagaimana mengawal rentak permainan, menghasilkan peluang. Ini adalah Manchester United yang sebenar."

Jaringan Rashford tersebut merupakan yang ketiga dalam tiga perlawanan dan kini bertindak sebagai penyerang utama United, mengetepikan Romelu Lukaku yang memulakan perlawanan itu sebagai pemain gantian.

Bagaimanapun, bintang England itu berasakan persembahan De Gea lebih penting berbanding jaringannya.

"Semua individu mengambil tanggungjawab selepas pengurus baru mengambil alih pasukan," kata Rashford.

"Perlawanan ini bukan mengenai jaringan, ia mengenai persembahan yang dipamerkan penjaga gol yang berjaya memastikan gawang United tidak dibolosi."