Solskjaer enggan ulas perpindahan Bale ke United

Oleh Staff Writer 16 Mac 2019 3992
Solskjaer enggan ulas perpindahan Bale ke United
Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, enggan mengulas mengenai perpindahan Gareth Bale ke pasukannya sambil menegaskan gergasi Liga Perdana Inggeris itu perlu menandatangani "pemain yang berkualiti".

Bale kini berdepan dengan masa depan yang tidak menentu di Real Madrid susulan kepulangan semula ketua jurulatih, Zinedine Zidane, selepas dia kerap kali diketepikan daripada kesebelasan utama pengendali kelahiran Perancis itu sebelum ini.

Zidane sedang berusaha untuk memulihkan reputasi gergasi LaLiga itu dengan spekulasi bakal mendatangkan gandingan penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe dan Neymar, selain bintang Chelsea, Eden Hazard.

United sebelum ini kerap dikaitkan dengan bekas bintang Tottenham Hotspur, Bale, dan perpindahan ke Old Trafford itu mungkin terjadi buat penyerang Wales itu yang telah menjaringkan 10 gol dalam kesemua kejohanan musim ini.

Bercakap mengenai spekulasi perpindahan Bale dalam sidang media menjelang perlawanan suku akhir Piala FA menentang Wolves awal pagi esok, Solskjaer memberitahu wartawan: "Saya tidak boleh memberikan komen tentang Gareth Bale atau pemain lain kerana mereka adalah aset kepada kelab lain.

"Namun, kami sepatutnya mengambil pemain berkualiti dan pemain yang mampu meningkatkan kami secara berpasukan.

"Terdapat banyak faktor yang perlu difikirkan sebelum menandatangani pemain.

"Ia mudah untuk anda sebagai wartawan atau penyokong untuk memikirkannya bagi tempoh yang singkat.

"Kami perlu memikirkan kesan jangka panjang juga tentang siapa yang memiki personaliti sesuai dengan kelab ini.

"Terdapat banyak perkara yang kami perlu pertimbangkan," katanya. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen