Solskjaer beri amaran terhadap pengambilan pemain bintang

Oleh Staff Writer 9 Februari 2019 12667
Solskjaer beri amaran terhadap pengambilan pemain bintang
Ole Gunnar Solskjaer berkata Manchester United tidak perlu membazirkan wang untuk mendapatkan pemain bintang sambil menggesa pasukannya itu untuk berhati-hati dalam berbelanja dalam pasaran perpindahan pemain.

United berbelanja besar sejak Alex Ferguson meninggalkan pasukan itu pada 2013.

Mereka melakukan pelaburan besar untuk mendatangkan pemain berprofil tinggi seperti Angel di Maria, Radamel Falcao dan Alexis Sanchez yang gagal menyerlah.

Sanchez, terutamanya, bergelut untuk memaparkan aksi meyakinkan sejak menyertai pasukan itu daripada Arsenal, Januari tahun lalu, ketika bekas pengurus, Jose Mourinho, secara terus-menerus menggesa pihak tertinggi United untuk berbelanja lebih besar bagi menjamin kejayaan pasukan itu.

Bagi Solskjaer yang dilantik pengurus sementara sejak Disember lalu, dia hanya mahukan United menumpukan kepada pengambilan pemain yang bersesuaian dengan kelab itu.

"Ia bukan tentang nilai seseorang pemain.

"Ia perlu melibatkan pemain yang benar-benar sesuai dengan pasukan.

"Perwatakan mereka perlu bersesuaian dengan pasukan ini.

"Pengambilan pemain bintang tidak akan mengubah segala-galanya.

"Bukan dengan kehadiran mereka kami dapat memburu kejuaraan berbanding kedudukan empat terbaik.

"Jika anda lihat kepada pemain kami ketika ini, mereka rata-ratanya masih muda dan mempunyai potensi untuk berkembang.

"Paul Pogba dan Jesse Lingard, mereka kini berada pada umur yang kami mahukan mereka untuk mengambil tanggungjawab yang lebih besar dan bukan hanya sebagai pemain muda yang sekadar menumpang," katanya.

United kini di tangga kelima Liga Perdana Inggeris dan hanya ketinggalan dua mata di belakang pasukan di tangga keempat, Chelsea.

Mereka kini tidak pernah tewas sepanjang Solskjaer mengambil alih tempat Mourinho sejak Disember lalu.

Skuad kendalian Solskjaer itu kini ketinggalan 14 mata di belakang dua pasukan di tangga teratas, Manchester City dan Liverpool, namun semakin yakin untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana musim depan.

"Kami perlu meningkat secara perlahan-lahan memandangkan kami kini berada di tangga kelima liga.

"Kami terperap lama di kedudukan keenam dan seakan-akan tidak akan keluar daripada kedudukan itu.

"Terdapat enam pasukan terbaik untuk mencabar kejuaraan, namun kami mempunyai sumber, infrastruktur dan sejarah untuk melonjak ke puncak.

"Itu satu-satunya mentaliti yang sepatutnya ada dalam pasukan United.

"Kami terlalu jauh ke belakang musim ini, namun kami perlu mengejar pasukan-pasukan lain, terutama City, Liverpool dan Tottenham. Mereka telah memaparkan perkembangan yang hebat.

"Berdasarkan tiga pasukan itu, kami telah menewaskan Tottenham dan itu menunjukkan kami berkemampuan untuk melakukannya.

"Apa yang kami perlukan adalah aksi konsisten.

"Tempoh dua tahun terlalu panjang dan juga terlalu singkat untuk memperkatakan kami mempunyai kemungkinan untuk melakukan persediaan yang berbeza terhadap segala-galanya.

"Tahun depan mungkin, kami perlu sentiasa berharap.

"Ketika saya menyertai Molde pada 2010, kami berada di kedudukan ke-11.

"Pada 2011, kami memenangi kejuaraan liga.

"Anda tidak boleh mengatakan tidak," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen