Ole Gunnar Solskjaer memberitahu semua pemain Manchester United agar mengekalkan kecergasan ketika tempoh rehat akhir musim atau berisiko untuk tidak menyertai pasukan ketika kunjungan pra-musim.

United bakal melengkapkan musim yang sangat mengecewakan apabila melayan kunjungan Cardiff City malam ini setelah terlepas kedudukan empat terbaik liga.

Mereka akan berkunjung ke Australia, Singapura, China dan Wales dalam aksi persahabatan pra-musim bermula pertengahan Julai dan Solskjaer berkata mana-mana pemain yang tidak cergas akan ditinggalkan.

"Semua pemain mempunyai program sendiri untuk dilakukan ketika musim panas. Kami jangka mereka akan bersedia pada 1 Julai apabila kami bermula," katanya.

"Kami tidak akan menggunakan 10 hari pertama untuk membina. Mereka patut bersedia. Kami meraih tempoh rehat lebih lama berbanding pencabar lain dan perlu gunakannya sebagai kelebihan.

"Ia bukan satu ugutan tetapi sesiapa yang tidak bersedia pada 1 Julai mungkin akan kekal di sini dan tidak mengikuti sesi jelajah kerana kami hanya mahukan pemain yang boleh beraksi."

United menuju ke hari terakhir Liga Perdana Inggeris dengan ketinggalan 29 mata di belakang pendahulu dan seteru setempat, Manchester City, dan dibezakan 28 mata dengan pasukan tangga kedua, Liverpool.

Solskjaer mahu pemain senior menetapkan sasaran untuk kempen seterusnya dan berasakan permulaan baik akan membolehkan United merapatkan jurang.

"Ia bergantung kepada saya dan barisan kejurulatihan. Kami yang mengendalikannya tetapi kami mahu pemain menjadi tunjang utama untuk mara ke depan berbekalkan beberapa pemain berpengalaman," katanya.

"Kami telah bercakap dengan mereka, 'Kami jangka anda kendalikannya musim depan'. Kami mahukannya kerana kami percayakan mereka.

"Ia juga proses mendapatkan momentum. Permulaan musim sangat penting. Jika kami dapat mengekalkan momentum, saya pasti kami dapat mengejar beberapa pasukan.

"Peminat kami tahu bola sepak. Mereka tahu kitaran pasukan. Kini, mungkin ia permulaan pasukan baru dan era baru."