Ole Gunnar Solskjaer mengakui Manchester United tidak beraksi baik ketika bergelut untuk meraih kemenangan 1-0 ke atas Leicester City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford malam tadi.

Jaringan penalti Marcus Rashford pada minit kelapan memastikan kemenangan tanpa kualiti permainan yang baik itu sambil rekod tanpa kalah Leicester musim ini turut terhapus.

Pelawat mempamerkan 58 peratus penguasaan perlawanan, namun tidak banyak mencipta peluang walaupun David de Gea memaparkan aksi menyelamat gemilang bagi menafikan usaha James Maddison dan Ben Chilwell dalam babak pertama.

Rashford, yang gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika tewas kepada Crystal Palace bulan lalu, menyempurnakan peluangnya sebelum United lebih gemar bertahan untuk mengharapkan serangan balas pantas.

Solskjaer tidak tertarik dengan prestasi pasukannya pada jam terakhir, namun dia lega mereka tidak dibolosi dan gembira dengan usaha pasukannya.

"Tiga mata, tidak bolos, kepercayaan dan penyatuan sesama mereka, usaha yang dilakukan," katanya ketika ditanya apa yang membuatkannya gembira dengan kemenangan berkenaan.

"Ayuh kami tidak menipu diri sendiri -- kami tidak beraksi baik.

"20 hingga 25 minit pertama amat hebat tetapi selepas itu kami semakin hilang penguasaan.

"Pada penghujung perlawanan, saya fikir kami kembali menguasainya.

"Ia mungkin kali pertama sepanjang musim ini, selepas kemenangan ke atas Chelsea, di mana kami perlu bertahan sebagai satu pasukan untuk tempoh yang lama.

"Saya gembira kami tidak dibolosi, David beberapa kali menyelamatkan keadaan dengan baik.

"Di stadium ini, mereka gemar untuk menyaksikan usaha, perwatakan dan tenaga.

"Sepakan penalti itu pula, Andreas (Pereira) memenangi bola, Marcus belari dan dijatuhkan (Caglar Soyuncu) -- peminat kami menggemarinya.

"Mereka kata kami jarang tidak dibolosi. Kami telah melakukannya ke atas Chelsea dan Leicester di sini, dua pasukan hebat yang memburu empat tempat teratas dan kami tidak dibolosi oleh mereka," katanya.

Harry Maguire diejek oleh penyokong pelawat sejak sebelum sepak mula tetapi dia memaparkan aksi hebat selaku penggerak barisan pertahanan bagi membantu kemenangan pasukannya.

"Ia tidak kelihatan seperti dia merindui mereka," tambah Solskjaer.

"Dia melakukannya dengan amat baik.

"Dia kekal fokus dan amat tenang memenangi bola buat kami dan kami memerlukan aksi seperti itu dalam babak kedua."

Mengenai gol penalti Rashford, dia menambah: "Dia terus berlatih. Setiap orang boleh gagal dalam sepakan penalti -- saya pernah melihat (Diego) Maradona, saya pernah melihat (Lionel) Messi, semua pemain terbaik pernah gagal.

"Dia amat tenang dan hanya mahu bola itu masuk ke gawang."