Legenda Manchester United, David Beckham, percaya Ole Gunnar Solskjaer akan meneruskan kecemerlangannya selepas dilantik pengurus tetap Manchester United.

Solskjaer menandatangani kontrak tiga tahun dengan gergasi Liga Perdana Inggeris itu selepas cemerlang selaku pengurus sementara sejak menggantikan Jose Mourinho, Disember lalu.

Dia hanya tewas sekali dalam aksi liga yang meningkatkan peluang pasukan itu untuk menamatkan musim ini di kedudukan empat teratas sambil sedang bersedia untuk menghadapi Barcelona dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Bekas bintang United, Beckham -- yang pernah beraksi di samping Solskjaer ketika The Red Devils meraih kejuaraan 'treble' pada musim 1998-99 -- berkeyakinan pengendali kelahiran Norway itu akan berjaya di Old Trafford.

"Ia amat baik untuk menyaksikan dia melakukan tugas yang hebat seperti itu. Dia layak untuk menandatangani kontrak yang diraihnya itu," katanya kepada Sky Sport.

"Dia disayangi penyokong, pemain dan setiap yang terlibat dengan pasukan ini.

"Dia telah melakukan tugasnya dengan baik dan akan terus melakukannya kerana penyokong sejati United menyayanginya.

"Ia baik untuk kelab ini dan baik untuk dirinya," katanya.

United memenangi perlawanan pertama Solskjaer selaku pengurus tetap dengan menewaskan Watford 2-1 di Old Trafford minggu lalu.

Selepas terikat mata sama dengan pasukan di tangga keempat, Tottenham Hotspur, United akan berkunjung ke Wolves, awal pagi esok.