Sokratis Papastathopoulos menegaskan dia tidak kisah siapa yang akan memakai lilitan lengan di Arsenal selepas Granit Xhaka digantikan oleh Pierre-Emerick Aubameyang selaku ketua pasukan.

Pengurus, Unai Emery, mengumumkan kelmarin bahawa Xhaka dilucutkan daripada tugas kapten selepas menunjukkan kemarahannya sebagai reaksi selepas diejek oleh penyokong sendiri dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Crystal Palace minggu lalu.

Aubameyang akan mengambil alih tugas itu bermula dengan aksi liga di laman Leicester City awal pagi lusa tetapi Sokratis berasakan isu itu tidak penting selagi setiap pemain menuju ke haluan yang sama di atas padang.

"Saya fikir ia merupakan kali pertama dia (Aubameyang) mengetuai pasukan," katanya kepada akhbar British.

"Bagi saya, Aubameyang perlu mengutamakan jaringan, dia perlu melaksanakan tugasnya.

"Tugas kapten atau siapa yang akan menyarungnya (lilitan lengan), saya tidak fikir ia terlalu penting.

"Dia seorang yang amat baik tetapi siapa yang menjadi kapten tidak penting.

"Apa yang penting ialah kesemua pemain mempunyai hubungan yang baik dalam bilik persalinan.

"Kami seperti satu keluarga.

"Siapa yang akan menjadi kapten di atas padang adalah perkara terakhir untuk difikirkan," katanya.

Kekecewaan Arsenal berterusan selepas terikat 1-1 dengan Victoria SC dalam Liga Europa awal pagi semalam di mana Bruno Duarte memadamkan jaringan pembukaan Shkodran Mustafi di Portugal.

Skuad kendalian Emery itu tidak pernah menang dalam empat perlawanan terakhir dan Sokratis sedar keperluan pasukannya untuk memberikan respons ketika menentang Leicester, Ahad ini.

"Ia perlawanan yang besar, perlawanan yang kami perlu memenanginya.

"Sudah pasti masih terdapat banyak perlawanan yang mendatang.

"Jika kita lihat tahun lalu, kami berada di kedudukan yang baik tetapi dalam tujuh perlawanan terakhir, kami tidak pernah menang.

"Pasukan-pasukan lain ketinggalan enam, tujuh mata di belakang kami tetapi pada akhirnya, mereka berada di depan kami.

"Kami perlu menjadi tekal sepanjang tahun, bukan hanya sebulan.

"Leicester berada di prestasi terbaik ketika ini, mereka pasukan yang bernafsu.

"Anda dapat melihatnya dan kami perlu bersedia untuk menewaskan mereka."