Sokratis Papastathopoulos memilih untuk menyertai Arsenal berbanding Manchester United, kata bapa pemain itu.

Pertahanan Borussia Dortmund, Sokratis, dijangka menandatangani kontrak bersama Arsenal dalam masa terdekat tetapi Jose Mourinho turut mendedahkan beliau berminat untuk membawanya ke United.

Charalambos Papastathopoulos mengesahkan kedua-dua pasukan itu telah berbincang dengan Dortmund, dengan Sokratis memilih Arsenal berbanding United.

"Terdapat tawaran daripada United, tetapi untuk Julai -- dia perlu menunggu hingga Julai untuk United," kata Charalambos.

"United memiliki hubungan yang baik bersama Dortmund tetapi Sokratis memilih untuk bersama Arsenal."

Charalambos menyokong keputusan anaknya, dengan mempercayai saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah yang paling kompetitif di dunia.

Sokratis telah membuat 30 penampilan dalam Bundesliga musim ini, menjaringkan dua gol dan Dortmund menamatkan saingan di tempat keempat untuk layak ke Liga Juara-Juara (UCL).