Ole Gunnar Solskjaer memuji persembahan Bruno Fernandes ketika berdepan Chelsea dan berkata kebolehan dalam situasi bola mati yang dimiliki pemain tengah Manchester United itu bertaraf dunia.

Bola sepakan sudut Fernandes ditanduk masuk Harry Maguire dalam babak kedua sewaktu United menewaskan The Blues 2-0, awal pagi tadi.

Solskjaer ternyata gembira dengan pemain tengah itu yang tiba di United menerusi yuran berjumlah GBP47 juta (RM253 juta), bulan lalu dan memuji kebolehannya dalam situasi bola mati.

"Dia pemain hebat, sentiasa mahu memegang bola," katanya.

"Namun, dalam situasi bola mati, dia bertaraf dunia dan antara yang terbaik pernah saya saksikan. Mengenai Maguire, kami tahu dia mampu berlari mendapatkan bola, menghadirkan ancaman serta meledakkan gol."

Kemenangan awal pagi tadi dimulakan dengan tandukan Anthony Martial pada babak pertama dan kemenangan itu membolehkan United naik ke tangga ketujuh dan ketinggalan tiga mata di belakang pasukan tangga keempat, Chelsea.

Namun, Solskjaer tetap menuntut peningkatan daripada anak buahnya yang bakal bertandang ke Club Brugge untuk aksi pertama pusingan 32 Liga Europa, Khamis ini.

"Sudah tentu kami mahu berada dalam Liga Juara-Juara Eropah musim depan dan kami mencerahkan peluang dengan kemenangan ini tetapi kami sedar perlu terus mencipta peningkatan," katanya.

"Ia melibatkan ciptaan peluang, penyudahan gol. Kami tidak dibolosi hari ini dan ia menunjukkan sesuatu [positif] sedang dicipta.

"Kami akan terus bekerja keras dan memulihkan diri kerana akan menghadapi perlawanan pada Khamis ini."


Editor: Nafis Abdullah