Pemain tengah Tottenham Hotspur, Moussa Sissoko, menyangkal dakwaan bahawa persetujuan telah dicapai untuk meninggalkan pasukan.

Sissoko menyertai Spurs pada Ogos tahun lalu melalui proses perpindahan bernilai GBP30 juta (RM165 juta) dari Newcastle United.

Bagaimanapun, kehadirannya ke White Hart Lane ketika itu dilihat gagal mencetuskan sebarang impak serta tidak berjaya menarik perhatian pengendali, Mauricio Pochettino, sekaligus dilaporkan berada dalam senarai untuk dilepaskan pada musim panas ini.

Trabzonspor merupakan antara pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat bekas pemain kelab Toulouse itu, namun Sissoko menegaskan bahawa tiada sebarang perjanjian yang sudah dicapai.

“Adakah setiap khabar angin itu benar?

“Tiada persetujuan dengan mana-mana pasukan, jadi tenang sahaja,” ujar Sissoko melalui laman sosial Twitter miliknya.