Pemain Manchester City, David Silva, tidak terkejut dengan kesan positif yang dilakukan Frank Lampard di Chelsea sejak bergelar ketua jurulatih.

Chelsea yang kini satu mata mengatasi juara bertahan Liga Perdana Inggeris, City, akan berdepan skuad bimbingan Pep Guardiola itu di Stadium Etihad, awal pagi esok.

Tatkala City tewas 3-1 di tangan pendahulu, Liverpool, dalam tiga aksi terakhir, Chelsea memenangi kesemua enam perlawanan di tempat lawan.

Silva beraksi bersama Lampard buat City ketika musim 2014-15 selepas bekas pemain tengah England itu menamatkan tempoh 13 tahun menyarung jersi Chelsea dan dia mendakwa pantas melihat potensinya untuk bergelar pengurus.

"Saya dapat melihat seorang pengurus dalam dirinya sewaktu berada di sini. Dia seorang pemain hebat, bertaraf dunia," katanya.

"Cara bermain, begitu juga dengan pengalaman dalam bola sepak, kini dia menurunkannya kepada pemain. Dia telah membuktikannya, jadi dia akan menjadi seorang pengurus yang hebat.

"Saya tidak terkejut. Dia memiliki idea yang jelas dan melakukannya dengan baik. Apa yang penting, dia diberikan peluang secukupnya dan dia menggunakannya sebaik mungkin."

Ketika Chelsea sedang menjalani penggantungan perpindahan, Lampard dipuji susulan tindakannya menggunakan kudrat pemain muda The Blues, yang menyaksikan Tammy Abraham, Mason Mount dan Fikayo Tomori menyinar sambil Christian Pulisic mula menemui rentak dalam beberapa aksi terakhir.

City ketinggalan sembilan mata di belakang Liverpool tetapi Silva menegaskan Chelsea juga harus dipertimbangkan selaku pencabar untuk kejuaraan liga musim ini.

"Saya fikir begitu. Walaupun ia musim pertama Lampard, mereka beraksi dengan baik," tambahnya.

"Mereka dalam perebutan kejuaraan liga. Ia bakal jadi satu perlawanan yang hebat, dua pasukan menyerang mahu memastikan kawalan bola dan menjaringkan gol. Ia bakal menjadi aksi menghiburkan buat peminat.

"Abraham beraksi cemerlang, sama seperti seluruh pasukannya. Mereka mempunyai pemain yang cemerlang untuk membantunya.

"Mereka juga mempunyai beberapa pemain muda yang bagus dan apabila pasukan beraksi cemerlang, sentiasa mudah untuk mereka menyinar."

Dalam masa sama, Silva menegaskan penting untuk City pantas pulih daripada kekalahan di Anfield dalam aksi terakhir.

"Kami ketinggalan sembilan mata. Kami perlu fokus dengan diri sendiri, cuba untuk menang setiap perlawanan dan lihat apa berlaku di penghujung musim," ujar pemain yang telah menjulang empat trofi Liga Perdana Inggeris itu.

"Saya fikir kami dalam prestasi terbaik walaupun gagal meraih keputusan baik. Liverpool beraksi sangat bagus, sebab itu wujud perbezaan di antara kami. Ini bukan kali pertama kami ketinggalan dalam carta liga.

"Kami ketinggalan sebegini dalam musim lain, malah dengan kekurangan perlawanan dan akhirnya kami berjaya bergelar juara. Kami perlu tenang dan fokus dengan perlawanan."