Pep Guardiola menjangkakan David Silva akan diketepikan ketika Manchester City berdepan perndahulu, Liverpool, dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Anfield hujung minggu ini.

Kapten City itu mengalami kecederaan otot dan digantikan dengan Gabriel Jesus dalam babak pertama ketika pasukannya menewaskan Southampton 2-1 kelmarin.

Bekas pemain kebangsaan Sepanyol itu -- yang dalam musim terakhirnya bersama juara bertahan Liga Perdana berkenaan -- akan turut terlepas perlawanan menentang Atalanta dalam Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi Khamis ini.

Ditanya dalam sidang media sama ada Silva akan diturunkan ketika menentang skuad kendalian Jurgen Klopp itu, Guardiola berkata: "Saya tidak fikir begitu.

"Saya tidak bercakap dengan doktor tetapi dia mengalami masalah otot dan tidak dapat meneruskan permainan, jadi ada sesuatu yang terjadi kepadanya.

"Masalah otot kebiasaannya memerlukan 10 hingga 12 hari untuk pulih," katanya.

City akan bertandang ke Anfield dengan menyedari kemenangan dalam perlawanan itu akan mengecilkan jurang mata mereka dengan pendahulu liga itu kepada tiga mata.