David Silva berharap Manchester City memberi peluang kepada peminat mereka untuk "mengusik separuh lagi penyokong merah" menerusi kemenangan ke atas Manchester United menjelang aksi 'derby' pada awal pagi Isnin nanti.

Pengurus skuad pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, Pep Guardiola, muncul sebagai pasukan pilihan untuk menghadapi Red Devils yang menghuni tempat ketujuh tetapi mula mendapat rentak terbaik mereka.

Silva, yang merakamkan tiga gol dan dua bantuan jaringan dalam kempen liga musim ini, berkata kedudukan liga tidak relevan dalam aksi 'derby', justeru dia menuntut City menghadiahkan kemenangan kepada penyokong mereka.

"Setiap perlawanan 'derby' adalah berbeza, sama seperti setiap musim adalah berbeza. Anda boleh lihat ia terbukti tanpa mengira kedudukan sesebuah pasukan itu dalam liga," katanya dalam sidang akhbar.

"Anda melihat apa yang berlaku ketika mereka tiba di tempat kami musim lalu. Kami berkunjung ke sana (Old Trafford) dan menang juga.

"Saya fikir kedudukan liga tidak ada kena-mengena dengannya, ia hanya mengenai perlawanan seterusnya.

"Sudah tentu ia membawa makna yang besar. Kami tahu betapa pentingnya 'derby' ini bagi mereka yang pernah tampil dalam perlawanan ini, peminat City khususnya.

"Ini peluang yang baik apabila anda pergi ke tempat kerja atau melihat rakan anda di jalanan. Jika kami menang, ia merupakan satu peluang untuk anda cuba 'mengusik'' sedikit penyokong merah."

City kini dua mata mengatasi Chelsea di puncak liga dan sembilan mata lebih baik daripada United menjelang pertemuan 'derby' itu.