EVERTON 1 ARSENAL 0

Marco Silva berkata Everton sudah menemui semula tahap keyakinan bagi membentuk persembahan yang lebih mantap dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).


Jaringan pada minit ke-10 oleh Phil Jagielka memastikan kemenangan 1-0 ke atas Arsenal semalam, sekali gus membenarkan The Toffees merakamkan kemenangan ketiga berturut-turut dan yang kedua mengatasi pasukan enam teratas di laman sendiri.

Skuad bimbingan Silva itu memiliki rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan pada permulaan musim sebelum menghadapi tempoh sukar Disember lalu, termasuk mencatat empat kekalahan dan dua seri.

Diikuti dengan tiga kekalahan berturut-turut Februari lalu, peningkatan yang mula ditampilkan oleh Everton membenarkan mereka untuk berharap dapat kembali beraksi dalam saingan Liga Europa ketika saingan berbaki lima perlawanan.

"Kami berada dalam momentum yang terbaik," kata Silva.

"Everton beraksi cemerlang pada permulaan tiga bulan musim ini sebelum jadual padat Disember dan Januari lalu, ia menggugat keyakinan pasukan.

"Rehat panjang ketika aksi perlawanan antarabangsa banyak membantu kami -- kami memiliki masa untuk memperbaiki kelemahan sebelum ini.

"Kami telah berusaha dan keputusan dapat dihasilkan oleh pemain-pemain yang beraksi dengan penuh keyakinan.

"Everton dapat menampilkan permainan yang lebih tenang berdepan West Ham dan Arsenal. Ia satu petanda baik buat kami," katanya.

Pengendali The Toffees itu memberikan pujian kepada penjaring gol kemenangan, Jagielka, yang menjadi peledak jaringan tertua dalam saingan EPL.

Pemain berusia 36 tahun itu kembali dalam kesebelasan utama ekoran masalah kesihatan yang dihadapi oleh Michael Keane.

"Jagielka menunjukkan dia bersedia untuk memberikan segala apa yang diperlukan oleh jurulatih dan rakan sepasukan," kata Silva.

"Dia berhak menerima setiap pujian di atas usahanya menjaringkan gol kemenangan."