Bernardo Silva berikrar untuk meraih trofi Liga Juara-Juara selepas dinamakan selaku Pemain Terbaik Tahunan Manchester City ketika perarakan piala semalam.

Silva menikmati musim hebat, mengesahkan tempat dalam kesebelasan utama dalam pelbagai posisi walaupun Riyad Mahrez menyertai pasukan daripada Leicester City awal musim ini.

Bintang tengah Portugal itu mencipta tujuh gol di pentas liga untuk membantu City mengekalkan gelaran juara sambil mereka turut menjulang Piala EFL dan Piala FA selepas menewaskan Watford 6-0, Sabtu lalu.

City mengumumkan Silva sebagai pemain terbaik hasil undian peminat ketika majlis semalam dan tonggak tengah itu berikrar untuk membantu pasukan menjulang trofi di Eropah musim depan.

"Terima kasih semua," katanya.

"Cara anda membuatkan kami berusaha keras sepanjang musim. Anda membuatkannya benar-benar berlaku. Tanpa peminat, ia tidak akan terjadi. Musim depan, kami akan kembali dan cuba hadirkan lebih banyak trofi.

"Banyak kerja keras telah dilakukan. Kami sangat penat! Ia merupakan musim yang panjang dan hebat buat kami tetapi empat trofi (termasuk Perisai Komuniti) untuk seluruh pasukan, ia hebat.

"Diharapkan, kami mahu melakukan lebih baik, cuba menjulang trofi Eropah kerana itu yang kami terlepas.

"Peminat perlu meminta lebih daripada kami. Trofi Eropah, itu yang kami perlukan. Ayuh, dapatkannya."