Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, memuji David Silva sebagai salah seorang pemain terbaik pernah dilihat selepas bintang Sepanyol itu meraih penampilan ke-400 buat kelab itu sewaktu menundukkan Bournemouth 3-1, semalam.

Silva beraksi di barisan tengah yang dilihat lebih menyerang selepas Fernandinho dan Rodri diletakkan di bangku simpanan dan percaturan itu tampak menjadi.

Pemain berusia 33 tahun itu menembusi bentang lawan untuk mencipta bantuan gol buat Raheem Sterling dan menjadikan kedudukan 2-0 buat juara bertahan itu sambil dia turut menghasilkan bantuan jaringan kepada gol kedua Sergio Aguero.

Persembahan itu jelas memukau buat perancang yang hadir dari Valencia pada 2010 itu tatkala dia menghasilkan rekod tersendiri buat pasukan.

Jumaat lalu, Guardiola mengakui dia pernah meragui kemampuan Silva ketika pemain Sepanyol itu berpindah ke England tetapi kini menyifatkannya sebagai salah seorang pemain terbaik pernah dilihatnya.

"Dia beraksi sangat cemerlang," ujar Guardiola.

"Silva -- dalam corak permainan ini -- dengan benteng yang ke bawah dan banyak ruang, menjadikannya sangat bagus. Dia salah seorang pemain terhebat pernah saya saksikan.

"Apa lagi boleh saya katakan? Semua orang mengenali Silva. Dia bergerak antara garisan seperti tiada pemain lain dan dia adalah pejuang."

Jaringan Sterling merupakan gol kelimanya dalam liga musim ini dan Guardiola memuji ketajaman pemain England itu di depan gawang tatkala City tidak meraih banyak peluang.

"Kami tidak banyak meraih peluang tetapi Sterling menyumbat gol dan ia bagus buat kami," tambahnya.