Liverpool mengumumkan bahawa mereka telah menandatangani Xherdan Shaqiri dari Stoke City, dengan pemain kebangsaan Switzerland itu tampil dengan nilai perpindahan GBP13.75 juta (RM73.70 juta).

Shaqiri telah bersetuju untuk kontrak jangka panjang di Anfield tetapi Liverpool masih belum mengesahkan tempohnya.

Pemain kebangsaan Switzerland itu, yang beraksi dalam saingan Piala Dunia, dilaporkan memiliki klausa perpindahan yang membenarkan dia meninggalkan kelab jika tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris (EPL).

Shaqiri melengkapkan ujian kesihatan di Liverpool semalam dan perpindahannya telah disahkan oleh kelab pada hari berikutnya.

"Saya sangat gembira menyertai Liverpool, kelab yang besar dan penuh dengan sejarah, pemain-pemain berkualiti dan jurulatih yang berwibawa," kata Shaqiri.

"Sebagai pemain, anda mahu berada di pentas tertinggi dalam bola sepak. Beberapa musim lalu, ia tidak berhasil buat saya dan akhirnya, saya berasa sangat gembira. Saya mahu membuktikan kebolehan saya dengan memenangi gelaran, ia merupakan sebab utama saya berpindah ke sini.

Shaqiri -- yang menjaringkan 15 gol dalam 84 penampilan bersama Stoke dalam tempoh tiga musim -- telah beraksi bersama kelab seperti Basel dan Inter.

Pemain berusia 26 tahun itu telah bermain untuk Bayern Munich ketika muncul juara Bundesliga dan Liga Juara-Juara pada musim 2012-13.

Shaqiri akan menyarung jersi nombor 23 di Anfield dan menyertai pemain-pemain baru seperti Fabinho dan Naby Keita bagi musim depan.