Shahid Khan kemuka tawaran beli Stadium Wembley 

Oleh Staff Writer 27 April 2018 4941
 Shahid Khan kemuka tawaran beli Stadium Wembley 
Persatuan Bola Sepak (FA) England mengesahkan menerima tawaran untuk Stadium Wembley.

Tawaran itu datang daripada jutawan merangkap pemilik Fulham dan pemegang francais kelab Liga Kebangsaan Ragbi (NFL), Jacksonville Jaguars, Shahid Khan.

Tawaran itu didakwa bernilai £800 juta (RM4.3 bilion) biarpun FA tidak mendedahkan apa-apa butiran.

Satu entri pendek Twitter yang dihantar melalui akaun jurucakap rasmi semalam menjelaskan: "Kami boleh mengesahkan bahawa FA telah menerima tawaran untuk membeli Stadium Wembley."

Naib presiden eksekutif NFL bagi acara dan antarabangsa, Mark Waller, mengesahkan Khan merupakan individu di belakang tawaran berkenaan dan mengatakan ia adalah "petanda kuat" terhadap komitmen untuk mengembangkan sukan berkenaan di United Kingdom (UK).

"Kami sangat gembira dengan Shahid Khan dan Jacksonville Jaguars," katanya dalam satu kenyataan.

"Potensi pembelian Stadium Wembley adalah tanda komitmen mereka yang lebih kuat di UK dan visi mereka untuk membantu kami mengembangkan sukan ini.

"Memiliki pilihan stadium di London sentiasa kritikal terhadap NFL dan seiring dengan perkongsian 10 tahun dengan Tottenham Hotspur. Hubungan baru ini akan membolehkan fleksibiliti lebih besar dalam penjadualan perlawanan NFL di London pada masa depan."

Laporan di England mengatakan tawaran Khan bernilai £500j (RM2.7b) secara tunai, ia akan memberi laluan kepada FA untuk mengekalkan kemudahan perniagaan Kelab Wembley dan aset yang bernilai £300j (RM1.6b).

Ketua Eksekutif FA, Martin Glenn, dikatakan telah berunding dengan Khan selama beberapa bulan meskipun cadangan itu hanya diterima secara rasmi badan induk bola sepak Inggeris itu, hari ini.

Jualan itu bukan sahaja akan melihat lebih banyak pertandingan NFL dapat dimainkan di Wembley, malah turut membuka pintu kepada francais itu mewujudkan cawangan yang berpangkalan di London.

FA mempunyai hak ke atas stadiun berkenaan sejak pembinaannya siap pada 2007.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen