Semua pemain mahu berkhidmat untuknya -- Ozil 

Oleh Staff Writer 21 April 2018 2264
Semua pemain mahu berkhidmat untuknya -- Ozil 
Bintang Arsenal, Mesut Ozil, memberi penghormatan kepada Arsene Wenger sambil menyatakan dia bangga dapat bermain di bawah tunjuk ajar pengurus itu.

Semalam, Wenger mengumumkan akan meninggalkan Arsenal pada akhir musim ini selepas 22 tahun mengurus kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu.

Ozil, yang tiba di kelab itu dari Real Madrid pada 2013, menghamburkan pujian penuh terhadap Wenger dan pendekatan pengurus Perancis berkenaan.

"Dia sebab utama saya ke sini, dia meyakinkan saya dan saya bangga bermain di bawah kendaliannya," katanya kepada Sky Sports.

"Setiap orang mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadapnya. Dia telah memenangi banyak gelaran, menggilap beberapa pemain yang baik dan sentiasa menerapkan permainan yang sangat menarik. 

"Jadi, anda tahu sebagai pemain, jika anda datang ke sini, anda akan dapat mengembangkan permainan dan corak bermain seperti itu.

"Dia seorang yang jujur, sangat dihormati, mempunyai personaliti yang baik dan semua orang mahu bermain di bawah bimbingannya," katanya.

Masa depan Ozil di Stadium Emirates tidak menentu sebelum pemain antarabangsa Jerman itu menandatangani kontrak tiga tahun pada Februari lalu. 

Pemain berusia 29 tahun itu, yang telah menjaringkan empat gol serta membuat lapan bantuan gol lagi dalam kempen Liga Perdana musim ini, berkata dia sentiasa mahu kekal di Arsenal.

"Dia yang membawa saya ke sini dan mahu saya kekal, sebab itulah saya mengatakan selesa di sini, saya tidak pernah mahu pergi dan itulah sebabnya saya kekal," kata Ozil.

"Sekarang, kami mahu mencapai matlamat lebih besar," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen