OLDHAM 4 YEOVIL TOWN 1

Paul Scholes memulakan kariernya dalam bidang pengurusan dengan sensasi apabila Oldham Athletic garang menjinakkan Yeovil Town 4-1 dalam kempen Liga Dua di Boundary Park, awal pagi tadi.


Scholes mengemudi sesi latihan pertama semalam setelah menyahut kontrak 18 bulan yang ditawarkan Latics dan bekas pemain tengah Manchester United itu menghadirkan impak segera.

Setelah membuat dua perubahan dalam skuad Oldham yang mengalahkan Crawley Town 3-0 Sabtu lalu, Scholes terpaksa menunggu sehingga hujung babak pertama untuk menyaksikan pasukannya mencatat gol pembukaan.

Pemain tengah, Jose Baxter, membuat tendangan rendah untuk menyudahkan gerakan menarik Gevaro Nepomuceno dan Johan Branger, sekali gus membuatkan pengurusnya mengukir senyuman.

Oldham menggandakan kedudukan mereka enam minit selepas perlawanan bersambung melalui Callum Lang dan sungguhpun Yeovil berhasil merapatkan kedudukan, Oldham mengakhiri kemenangan dengan dua gol pada lewat perlawanan.

Mohamed Maouche mengembalikan semula kelebihan dua gol Oldham sebelum Christopher Missilou melengkapkan permulaan cemerlang di bawah bimbingan Scholes.