Bekas kapten Manchester United, Roy Keane, menolak apa yang diperkatakan Paul Pogba dalam sidang media sebelum perlawanan 'derby' Manchester dengan menuduh bintang Perancis itu hanya bermain untuk diri sendiri.

Pogba kekal dalam kesebelasan utama United walaupun pengurus, Ole Gunnar Solskjaer, melakukan lima perubahan selepas tewas 0-4 kepada Everton dalam Liga Perdana, Ahad lalu.

Menjelang pertemuan dengan Machester City di Old Trafford, awal pagi tadi, Pogba berkata kepada Sky Sports bahawa United perlu menunjukkan semangat juang selepas tewas enam daripada lapan perlawanan dalam kesemua kejohanan.

"Saya tidak akan percaya sepatah perkataan daripadanya," kata Keane ketika berperanan sebagai pengulas jemputan buat penyiar United Kingdom (UK).

"Jika anda mahu menjadi rakan sepasukan yang baik, anda perlu turun ke bawah dan bertahan.

"Mereka kata amat berang ketika tewas kepada Everton dan saya dengar mereka melemparkan gel rambut sesama mereka."

Pogba, yang menjuarai empat kejuaraan Serie A berturut-turut sewaktu di Juventus, merupakan tonggak penting ketika Perancis menjulang Piala Dunia musim lalu dan Keane tidak menafikan bakat yang dimiliki pemain itu.

"Dia pemain yang berbakat, namun kita dapat lihat dia tidak berlari ke bawah.

"Dia pemain matang yang telah menjulang kejuaraan besar, namun saya tidak nampak dia menunjukkan kepimpinan melalui teladan.

"Saya tidak tahu bagaimana dia sewaktu di padang latihan atau ketika dalam kunjungan.

"Pemain terbaik akan menjadikan pasukannya dan rakan sepasukannya menjadi lebih baik.

"Dia tidak melakukan perkara itu. Dia hanya bermain untuk dirinya sendiri," katanya.

Dengan kebangkitan yang dilakar United selepas Solskjaer mengambil alih pasukan, Keane memberikan peringatan tentang penderitaan yang dilalui Jose Mourinho sebelum dipecat Disember lalu.

"Saya tidak akan percaya bahawa akan ada kebangkitan yang akan dilakukan kelompok pemain seperti ini.

"Mereka adalah pemain sama yang membuang Mourinho dan mereka akan melakukan perkara sama kepada Ole.

"Harimau bintang tidak akan mengubah coraknya.

"Terlalu banyak penipu dalam kelab ini untuk membawa United kembali ke puncak," tambahnya.