WATFORD 0 ARSENAL 1

Unai Emery berkata dia tidak mendengar apa yang diperkatakan Troy Deeney selepas pemain itu diarahkan keluar padang ketika Watford tewas 0-1 kepada Arsenal dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Vicarage Road, awal pagi tadi.


Selepas penjaga gol Watford, Ben Foster, melakukan kesilapan yang membolehkan bintang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang, menjaringkan gol tunggal perlawanan, kapten Watford, Deeney, dilayangkan kad merah.

Penyerang itu menyiku Lucas Torreira ketika dia meluru ke arah pemain tengah berkenaan sebelum pengadil, Craig Pawson, melayangkan kad merah selepas mendapat pandangan daripada pembantunya.

Kad merah Deeney itu menjadi bukti betapa Watford masih mampu bersaing biarpun kekurangan seorang pemain dengan Craig Cathcart dan Adam Masina menghasilkan percubaan yang terkena palang buat finalis Piala FA itu.

Deeney seharusnya menerima penggantungan tiga perlawanan seperti biasa dan dapat kembali ketika menentang Manchester City dalam aksi final di Wembley, namun dia membuka kepada risiko yang lebih besar sewaktu meninggalkan padang.

Rakaman televisyen mendapati Deeney memaki-hamun Emery ketika menuju ke terowong, namun ketua jurulatih Arsenal itu mendakwa dia tidak mendengar apa yang diperkatakan penyerang berkenaan.

"Saya tidak mendengar apa yang diperkatakannya," kata Emery dalam sidang media selepas Arsenal melonjak ke tangga keempat Liga Perdana.

"Dia bercakap sesuatu, tidak kira apa yang dia katakan, namun saya katakan padanya yang saya tidak nampak.

"Saya tidak nampak insiden kad merah itu. Saya menghormati keputusan pengadil.

"Ia jelas bahawa keputusan itu membantu kami. Beraksi dengan kekurangan seorang pemain memang sukar.

"Bagaimanapun, jaringan kami memberikan kelebihan untuk memperoleh keputusan ini.

"Kami tidak melakukannya seperti apa yang dirancangkan.

"Kami perlu berasa lega dengan keputusan ini. Kemenangan ini amat penting.

"Tiga mata itu merupakan perkara terpenting, namun kami berusaha untuk konsisten dalam struktur pasukan, menghalang hantaran jauh dan gerakan 'set piece' mereka," katanya.

Rakan sejawatan Emery, Javi Garcia, berasakan Deeney tidak sepatutnya dilayangkan kad merah selepas mengasari penyerang Uruguay, Torreira.

"Saya tidak bersetuju tetapi saya menghormati keputusan pengadil. Ia mungkin kad kuning.

"Dia tidak perlu menjelaskan segala-galanya kepada saya.

"Saya dapat melihatnya dengan jelas.

"Saya dapat melihat sentuhan itu, namun ia daripada lengannya dan bukan sikunya.

"Saya tidak faham dengan keputusan itu.

"Saya tidak nampak sebarang tindakan agresif dalam pergerakan itu.

"Saya tidak faham mengapa pengadil melakukan keputusan seperti itu," katanya.

Watford jelas merupakan pasukan yang lebih baik walaupun Arsenal berkelebihan seorang pemain, namun mereka berdepan kekalahan pertama di laman sendiri sepanjang tahun ini.

"Tidak adil untuk memperkatakan tentang perlawanan ini dengan hanya berdasarkan keputusan perlawanan.

"Kami melakukan banyak perkara dengan baik.

"Sejak dari awal lagi, perlawanan ini amat menyukarkan kami.

"Kami dibolosi pada awal permainan dan selepas itu dikenakan layangan kad merah.

"Beraksi dengan 10 pemain untuk menentang Arsenal terlalu berat buat kami.

"Ia menyukarkan tetapi kami telah mencuba.

"Pemain saya layak mendapat pengiktirafan bukan berdasarkan keputusan perlawanan.

"Saya amat berbangga dengan kesemua mereka," tambahnya.