Maurizio Sarri mempertahankan gaya permainan pasukannya selepas Chelsea diaibkan Manchester City 6-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi, sambil berkata pemainnya tidak dapat memenuhi permintaannya sewaktu beraksi.

Kekalahan di Stadium Etihad itu merupakan yang ketiga buat Chelsea di laman lawan dalam saingan liga dan dengan dibolosi empat gol sepanjang 25 minit pertama menyebabkan Sarri buntu mencari punca ia berlaku.

Pengurus berusia 60 tahun itu membawa Chelsea melalui 12 perlawanan tanpa kalah sejak awal musim hingga ke penghujung November, namun mereka kini tewas sebanyak enam kali sejak tempoh itu.

The Blues kini di tangga keenam liga dan terkeluar daripada tempat ke Liga Juara-Juara Eropah.

Mereka kini ketinggalan 15 mata di belakang pendahulu liga, City, yang meraih kemenangan hasil jaringan hatrik Segio Aguero, dua jaringan Raheem Sterling serta satu daripada Ilkay Gundogan.

Ditanya sama ada gaya permainannya itu benar-benar sesuai untuk diterapkan di Stamford Bridge, Sarri menjawab: "Tidak, kerana saya tidak dapat lihat gaya permainan itu hari ini.

"Pada awalnya (musim ini) ia berjaya. Jadi, kami perlu mengenal pasti penyebab sebenar perkara itu terjadi.

"Kami perlu memahami sebab itu. Ia bukan perkara mudah.

"Pada awalnya, kami bermain lebih baik di tempat lawan berbanding di tempat sendiri.

"Kini, perkara sebaliknya berlaku.

"Ada sesuatu sedang berubah. Saya tidak tahu apa yang berlaku, namun kami perlu mengatasinya.

"Sasaran saya adalah untuk menunjukkan gaya bola sepak saya, bukan untuk mengubahnya kepada sesuatu yang lain.

"Setakat ini, kami bermain dengan gaya yang lain," katanya.

Sarri menimbulkan kembali persoalan mengenai masa depannya bersama kelab itu dan dia turut dilihat tidak bersalaman dengan pengurus City, Pep Guardiola, selepas tamat perlawanan dengan memberikan alasan dia tidak melihat rakan sejawatannya itu.

Dia menyalahkan Chelsea atas kesilapan yang dilakukan mereka dalam beberapa tempoh genting perlawanan, namun menyatakan pemainnya tidak berdepan sebarang masalah motivasi.

"Perasaan saya hari ini amat baik.

"Dalam peta permainan, ia kelihatan baik dan saya yakin motivasi pemain kami di tahap terbaik.

"Kami bermula baik sebelum dibolosi pada minit keempat dengan cara yang amat bodoh.

"Ketika itu, kami perlu terus bersaing tetapi kami tidak dapat melakukannya kerana melakukan banyak kesilapan.

"City bermain dengan amat baik hari ini," tambahnya.