Wilfried Zaha menegaskan dia tidak akan mengejar tawaran daripada pencabar utama Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mengesahkan keinginannya untuk kekal bersama Crystal Palace.

Pemain sayap Ivory Coast itu menjaringkan gol kesembilan musim ini dalam aksi terakhir yang menyaksikan The Eagles melakar kemenangan 2-0 ke atas West Brom.

Peranannya bersama Palace musim ini selepas permulaan yang mengecewakan mencetus ura-ura dirinya untuk menyertai kelab seperti Manchester City atau Tottenham.

Tetapi pemain berusia 25 tahun itu, yang memiliki pengalaman mengecewakan bersama Manchester United, mahu terus kekal di Selhurst Park.

"Saya tidak memiliki perancangan untuk meninggalkan kelab. Saya menikmati bola sepak saya di sini," kata Zaha.

"Ini rumah saya dan tiada sebab buat saya meninggalkan pasukan ini," ujarnya.

Ketika juara Liga Perdana Inggeris (EPL) memiliki sumber kewangan yang kukuh untuk memberikan tawaran lumayan, pengendali pasukan, Roy Hodgson, berkata wang bukan penghalang masa depan Zaha.

"Dia adalah pemain yang penting dan dia mengetahui bagaimana kami menghargainya," kata Hodgson.

"Dia mempunyai kontrak jangka panjang dan salah seorang pemain terbaik kami. Kami tidak mahu menjualnya," katanya.

Gol pembukaan Zaha pada minit ke-70 mencetus semangat buat Palace yang menggandakan jaringan menerusi Patrick van Aanholt untuk memastikan kemenangan dalam aksi terakhir EPL itu.