LEICESTER 1 SOUTHAMPTON 2

Claude Puel tidak menawarkan sebarang ulasan apabila ditanya mengenai masa depannya selepas Leicester City tewas di laman sendiri kepada Southampton, semalam.


The Foxes tewas 2-1 di Stadium King Power walaupun berdepan 10 pemain Southampton, kekalahan kedua selepas mereka tersingkir daripada saingan Piala FA kepada kelab divisyen empat, Newport County.

Sebilangan penyokong meluahkan kekecewaan mereka selepas tamat perlawanan, Puel, bagaimanapun, tidak terkena dengan kritikan dan menegaskan mahu kekal dengan pendekatan yang diberikan kepada pasukan.

Leicester tewas tiga daripada empat aksi sejak mengecewakan Manchester City pada 26 Disember lalu, dengan aksi-aksi getir berdepan Liverpool, Manchester United dan Tottenham bakal menyusul selepas bertandang ke Wolves.

"Ia bukan kebimbangan saya. Saya hanya tumpu kepada pasukan," kata Puel.

"Saya mahu bekerjasama dengan barisan pemain. Kami dan penyokong kecewa dengan situasi yang dialami."

James Ward-Prowse membuka jaringan menerusi sepakan penalti sebelum pertahanan, Yan Valery, diarah keluar padang pada minit ke-45. Mereka menggandakan jaringan sebelum tamat separuh masa menerusi Shane Long.

Wilfred Ndidi mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-58, namun The Saints memastikan kelebihan untuk meraih tiga mata di tempat lawan.