Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, berminat untuk kembali ke Barcelona sebelum menamatkan kerjayanya sebagai jurulatih dengan mengetuai pasukan B sekali lagi.

Pengurus berusia 47 tahun itu mengambil alih Barca B pada 2007 sebelum dilantik selaku jurulatih pasukan senior setahun kemudian berikutan pemergian Frank Rijkaard.

Guardiola memenangi tiga gelaran LaLiga, dua trofi Liga Juara-Juara (UCL) dan dua Piala Dunia Kelab dalam tempoh empat tahun yang gemilang sebelum menikmati kejayaan dengan Bayern Munich.

Memasuki musim ketiganya di City, beliau berharap untuk mempertahankan gelaran Liga Perdana yang dimenangi musim lalu dengan rekod 100 mata serta membayangkan akan kekal di England selama sedekad.

Bagaimanapun, Guardiola berharap dapat menyimpulkan kerjayanya di tempat yang sama dia bermula.

"Pasukan saya akan cuba bermain sebagaimana yang saya mahukan," katanya kepada Jorge Valdano di Universo Valdano.

"Saya akan menamatkan kerjaya di mana saya bermula, langkah terakhir saya adalah dengan pasukan remaja. Mudah-mudahan ia adalah Barca," katanya.

Guardiola, yang pernah menolak tawaran untuk kembali ke Camp Nou bagi melatih skuad senior Barca, juga dikaitkan mungkin pulang dengan menggalas jawatan pengarah sukan.

Kontraknya dengan City tamat pada penghujung musim 2021.