Frank Lampard berkata penting untuk membenarkan John Terry menikmati detik bersama penyokong di Stamford Bridge sebelum Chelsea menewaskan Aston Villa 2-1 awal pagi tadi.

Terry -- yang kini salah seorang jurulatih di Villa -- kembali ke kelab lamanya tatkala jaringan daripada Tammy Abraham dan Mason Mount membolehkan The Blues mengutip tiga mata.

Bekas pertahanan England itu memenangi lima kejuaraan Liga Perdana Inggeris bersama Chelsea selepas hadir daripada akademi kelab.

Pernah melalui pengalaman di Stamford Bridge dari bangku simpanan lawan sewaktu bersama Derby County musim lalu, Lampard memahami situasi yang dihadapi Terry apabila berkata: "Saya pernah berada di situ sewaktu pulang ke sini tahun lalu. Ia perasaan yang pelik.

"Anda mahu lakukan tugas secara profesional tetapi perasaan anda buat kelab dan apabila melihat penonton di situ, saya tahu apa yang dirasai Terry.

"Ia tidak mudah dan saya teruja melihat Terry melakukannya, menikmati detik itu dan penonton memberikannya tepukan dengan penuh hormat, seperti dijangkakan, sebelum dan selepas perlawanan.

"Saya fikir Terry sangat rendah diri tentangnya dan tidak mahu menjadikannya perkara besar tetapi jelas sekali peminat di sini sayangkannya, sama seperti kelab ini. Dia seorang legenda, kapten paling hebat, salah seorang pemain terbaik dan semua orang tahu tentangnya, jadi penting untuk dia menerimanya."

Abraham mengalami kecederaan dan digantikan ketika permainan berbaki tujuh minit selepas kembali daripada masalah pinggul tetapi Lampard menafikan ia masalah serius sambil memuji pemain berusia 22 tahun itu.

Sewaktu dipinjamkan kepada Villa musim lalu, dia menyumbat 26 gol untuk membantu pasukannya itu dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris dan setakat ini, pemain England itu telah meledakkan 11 gol dalam 14 penampilan buat Chelsea.

Ditanya mengenai kecederaan penyerang itu, Lampard menjawab: "Ia tidak kelihatan teruk. Abraham tetap yang sama. Penyerang yang menghampiri sentuhan terbaik, menunjukkannya sepanjang perlawanan dan mencipta personaliti di dalam bilik persalinan."

Pengurus Villa, Dean Smith, berkata dia kecewa dengan jaringan yang dilepaskan anak buahnya sambil menyatakan kerisauan dengan layanan yang diterima Jack Grealish daripada pertahanan dalam Liga Perdana Inggeris.

Ditanya sama ada risiko itu akan mengancam kecergasan pemain tengah itu, Smith berkata: "Jika dia tidak dilindung, jawapannya ya.

"Anda tidak boleh membiarkannya berlaku dengan mudah. Pihak bertanggungjawab perlu menyelesaikannya."