Ole Gunnar Solskjaer percaya kejayaan Manchester United mengikat pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool, 1-1 di Old Trafford lewat malam tadi mampu menjadi titik perubahan buat kempen pasukannya.

United hampir melakukan kejutan apabila Marcus Rashford menghasilkan gol pendahuluan dalam babak pertama, namun Adam Lallana menyelamatkan satu mata buat Liverpool pada lewat permainan.

Keputusan seri itu menyaksikan United mengumpulkan 10 mata daripada sembilan perlawanan sungguhpun mereka tidak pernah meraih sebarang kemenangan sejak menewaskan Rochdale menerusi penentuan penalti dalam Piala Liga Inggeris (EFL), 25 September lalu.

Di sebalik meluahkan kekecewaannya dengan kegagalan United mempertahankan kelebihan, Solskjaer berasakan pasukannya boleh menganggap keputusan itu sebagai titik tolak untuk lebih menyerlah musim ini.

"Satu respons yang baik daripada pemain saya. Kami sedar kami mempunyai pasukan yang bekerjasama dan terdapat suasana yang hebat di sana," katanya kepada Sky Sports.

"Mungkin ini akan mengubah musim kami. Mereka (pemain) kecewa di dalam bilik persalinan kerana mereka tahu mereka sepatutnya menang.

"Ia satu petanda yang baik buat seorang pengurus untuk melihat pasukannya kecewa kerana tidak menewaskan Liverpool.

"Penyokong kami dapat melihat apa yang sedang berlaku. Kami akan tiba di sana.

"Amat penting untuk mendapatkan keputusan yang baik, hanya itu caranya untuk meningkatkan keyakinan dan itulah yang kami sedang lakukan.

"Kemenangan pastinya hebat tetapi keputusan seri merupakan satu langkah di landasan yang tepat.

"Perlawanan dengan Newcastle (tewas 0-1) merupakan aksi terburuk kami.

"Kami mempunyai pemain yang kembali daripada kecederaan dan masalah kesihatan.

"Pasukan ini akan menjadi lebih baik kerana lebih ramai pemain akan kembali dalam masa terdekat. Saya amat lega.

"Anda tidak boleh melihat terlalu jauh. Anda perlu memenangi perlawanan. Kami adalah Manchester United dan perlu memenangi lebih banyak perlawanan.

"Ia peluang yang sudah terlepas tetapi kami akan meneruskannya," katanya.

Gol pembukaan United turut mencetuskan kontroversi dengan kem Liverpool mendakwa jaringan itu tidak sepatutnya dibenarkan penilaian video bantuan pengadil (VAR) kerana Victor Lindelof didapati mengasari Divock Origi, namun Solskjaer tidak bersimpati dengan dakwaan pasukan pelawat itu.

"Tidak, mungkin terdapat sentuhan tetapi ia tidak jelas dan bukanlah kekasaran yang nyata.

"Ia masih permainan orang lelaki di mana terjahan dibenarkan.

"Gol mereka (Liverpool) jelas terkena tangan (Sadio) Mane. Keputusan VAR memihak kami," tambahnya.

Ketika pengurusnya bersikap positif dengan keputusan itu, penjaring gol United, Rashford, berasakan pasukannya perlu menganggap mereka terlepas dua mata daripada perlawanan itu dan bukannya meraih satu mata.

"Mereka meraih satu mata hari ini. Kami kehilangan dua mata," katanya kepada BBC Sport.

"Ia amat mengecewakan kerana ia satu perlawanan yang besar.

"Anda perlu sentiasa positif sebagai pemain. Anda perlu berharap ia akan menjadi satu permulaan buat kami.

"Kami tidak berada di kedudukan yang baik, jadi setiap mata amat penting.

"Hari ini, kami kehilangan dua mata," katanya.