Apabila Mesut Ozil memakai lilitan kapten Arsenal, ia adalah satu keajaiban, kata Presiden Bayern Munich, Uli Hoeness.

Tatkala Laurent Koscielny terpaksa diketepikan akibat kecederaan, Ozil dinamakan sebagai kapten oleh pengendali Arsenal, Unai Emery, walaupun dia digantikan ketika tewas dalam aksi Liga Perdana Inggeris di tangan Chelsea, Sabtu lalu.

Pemain tengah itu mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa susulan penyingkiran Jerman daripada peringkat kumpulan Piala Dunia dan dia mendakwa menjadi mangsa penindasan disebabkan dia berdarah Turki.

Ozil dan rakan senegara, Ilkay Gundogan, dikritik hebat sebelum Piala Dunia selepas didapati bergambar dengan Presiden Turki, Tayyip Erdogan.

Bulan lalu, Hoeness mendakwa Ozil gagal mempamerkan aksi hebat sejak Piala Dunia 2014 sehingga menyebabkan ejen bintang The Gunners itu menyifatkan kenyataan presiden itu sebagai sesuatu yang biadap.

Bagaimanapun, Ozil sekali lagi diserang Hoeness ketika sesi temubual dengan Sky Sport Jerman, dengan mengatakan pemain berusia 29 tahun itu harus meminta maaf selepas bertemu Erdogan sebelum Piala Dunia.

"Kita telah menyaksikan satu kisah menggemparkan," kata Hoeness.

"Ozil sepatutnya mengeluarkan kenyataan tetapi meninggalkan pasukan tanpa sebarang penjelasan adalah kesilapan terbesarnya.

"Saya telah melihat aksinya sejak sekian lama dan Ozil merupakan salah seorang pemain yang lebih mengutamakan imej berbanding aksi di atas padang sehingga mengundang kritikan daripada saya.

"Satu keajaiban apabila dia kini bergelar kapten Arsenal," sindirnya.