Maurizio Sarri memerlukan "satu atau dua perubahan" sebelum Chelsea bersedia untuk menerapkan falsafah bola sepaknya tatkala dia teruja untuk berentap dengan "jurulatih utama di Eropah".

Pengurus berusia 59 tahun itu tiba di Stamford Bridge untuk menggantikan Antonio Conte sebagai ketua jurulatih Chelsea selepas 13 tahun mengendalikan kelab Itali menerusi sembilan kelab berbeza.

Setelah menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama The Blues, Sarri berkata dia teruja untuk mengendalikan skuad barunya.

"Chelsea adalah pasukan yang bagus," kata Sarri kepada Chelsea TV. "Masalahnya di England, terdapat lima atau enam pasukan yang sangat mantap.

"Saya fikir dengan satu atau dua penyesuaian, mereka boleh cuba bermain dengan gaya bola sepak saya.

"Dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), jurulatih utama di Eropah dan mungkin juga di dunia ada di sini. Cabaran akan menjadi sangat menarik untuk menentang (Pep) Guardiola, (Maurici) Pochettino, (Jose) Mourinho, (Jurgen) Klopp dan mereka yang lain."

Pengurus Manchester City, Guardiola, sebelum ini mengatakan bahawa seronok baginya jika Sarri tiba, begitupun Sarri bertindak merendah diri ketika ditanya mengenai pujian daripada salah seorang pesaing barunya itu.

"Guardiola pada dasarnya adalah seorang kawan," kata Sarri. "Saya rasa dia telah bercakap baik mengenai saya untuk motif ini."

Sarri turut memberi penilaian terhadap Jorginho, yang bakal menyertai Chelsea selepas kelab London itu mencapai kata sepakat dengan Napoli dan beliau teruja dengan keupayaan tonggak Itali itu.

"Jorginho bukan pemain bercirikan fizikal, dia pemain teknikal," kata Sarri.

"Bagaimanapun, kualiti paling penting dimilikinya ialah membuat keputusan, sehingga dia mempunyai kemampuan untuk menggerakkan bola dengan cepat."