Pengendali Chelsea, Maurizio Sarri, percaya Eden Hazard mampu mennjaringkan 40 gol musim ini selepas berpendapat bintang Belgium itu mungkin pemain terbaik di Eropah.

Pemain berusia 27 tahun itu beraksi cemerlang pada lewat malam semalam apabila mencatat hatrik untuk membantu kebangkitan The Blues menewaskan Cardiff City 4-1.

Tiga gol yang dijaringkan bermakna Hazard kini mengutip lima gol di pentas Liga Perdana Inggeris musim ini dan jelas berada di landasan terbaik untuk mengatasi rekod 23 gol yang dilakukan dalam musim terakhir ketika bersama Lille.

Sarri mengakui dia kini mempertimbangkan bahawa pemenang tempat ketiga Piala Dunia itu mungkin sudah memintas Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

"Saya rasa Hazard adalah salah seorang pemain terbaik di Eropah tetapi kini saya mengubah fikiran. Dia adalah pemain terbaik Eropah," ujar Sarri.

"Saya bercakap dengannya dua hari lalu dan semalam, memberitahu bahawa dia mampu menyumbat 40 gol.

"Namun, dia harus mengurangkan aksi jauh dari gawang dan perlu banyak bermain di sekitar 25 meter terakhir."

Sarri kini jelas lebih yakin dengan persembahan The Blues dan walaupun Mateo Kovacic mengalami kecederaan otot sehingga membuatkannya terpaksa dikeluarkan pada awal babak kedua, ia tidak begitu serius.

Sementara itu, pengurus Cardiff, Neil Warnock, yang kehilangan Harry Arter ketika sebelum rehat akibat pening, turut memuji persembahan Hazard tetapi berpendapat anak-anak buahnya mampu memberikan cabaran lebih sukar buat Chelsea.

"Hazard adalah pemain yang bagus tetapi itu yang akan hadapi apabila berdepan pasukan sebegini," kata Warnock.

"Saya harus bersikap adil apabila melihatnya beraksi sebegitu. Dia tidak boleh disisihkan.

"Kami berada dalam permainan selama 80 minit tetapi saya benar-benar kecewa dengan jaringan yang dilepaskan."