Maurizio Sarri berharap agar Eden Hazard akan kekal di Chelsea tetapi tetap menghormati apa jua keputusan penggempur itu mengenai masa depannya.

Kontrak Hazard di Stamford Bridge bakal tamat penghujung musim depan dan dia dikaitkan dengan perpindahan mega ke Real Madrid.

Selepas aksi terakhir Liga Perdana Inggeris bagi musim 2018-19, bintang Belgium itu memberitahu dia telah membuat keputusan dan memaklumkannya kepada kelab.

Namun, Chelsea bakal menuju final Liga Europa menentang Arsenal, Rabu depan tatkala masa depan Hazard masih belum pasti.

Ditanya jika aksi di Baku akan menjadi penampilan terakhir Hazard, Sarri berkata: "Saya tidak tahu. Seperti saya katakan sebelum ini, saya mahu menghormati keputusannya.

"Saya harap dia kekal bersama kami tetapi kami harus bersedia jika dia membuat keputusan sebaliknya. Jika saya bercakap dengannya, saya tidak mahu berkata apa-apa."

Ditanya sama ada Hazard mampu menyinar di Madrid, Sarri menambah: "Hazard bagus untuk semua pasukan, itu sudah pasti tetapi dia sangat hebat bersama kami."

Januari lalu, Chelsea bersetuju dengan perpindahan bernilai GBP58 juta (RM307 juta) buat pemain sayap, Christian Pulisic, sebelum meminjamkannya semula ke Borussia Dortmund sehingga akhir musim dan Sarri tidak sabar untuk mengendalikan tonggak Amerika Syarikat itu.

"Saya bercakap dengannya dua atau tiga bulan lalu. Pulisic sangat mengenali pasukan kami, corak permainan Chelsea serta rakan sepasukannya. Jadi, dia bersedia untuk menyertai kumpulan tersebut," ujar pengendali dari Itali itu.

"Seperti saya katakan, saya tidak tahu perjanjian yang dicapai sewaktu dia menandatangani buat kelab tetapi sudah tentu saya memberitahu pendapat kepada pasukan sebelum itu. Pandangan saya sangat positif buat Pulisic.

"Pulisic adalah pemain muda tetapi dia sangat kuat. Jadi, saya sangat gembira. Dia mempunyai kemungkinan untuk meningkat dan dia akan bergelar pemain penting buat kami."