Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri, didenda sebanyak £8,000 (RM42,787) selepas mengaku bersalah terhadap dakwaan salah laku seperti yang didakwa Persatuan Bolasepak England (FA).

Sarri diarahkan untuk meninggalkan padang pada minit ke-94 ketika Chelsea diikat Burley 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, Selasa lalu.

Pengadil, Kevin Friend, mendapati bekas pengendali Napoli itu memberikan reaksi yang tidak sepatutnya ketika terlibat dengan pertelingkahan di antara pemain Chelsea dan barisan pegawai pasukan lawan.

"Maurizio Sarri telah didenda £8,000 (RM42,787) setelah mengaku bersalah terhadap dakwaan salah laku yang dikenakan FA dan menerima untuk dikenakan hukuman standard," kata FA dalam satu kenyataan, semalam.

Ekoran masih berang dengan keputusan pengadil, Sarri tidak menjalankan tugasnya dalam sidang media selepas perlawanan dengan pembantunya, Gianfranco Zola, mendakwa pengurus Chelsea itu menerima hukuman yang hanya disebabkan salah faham.

Zola turut mendakwa pengurus berusia 60 tahun itu menerima kata-kata yang tidak sepatutnya daripada pegawai kejurulatihan Burnley selain kecewa dengan cara permainan The Clarets yang gemar "membazirkan masa".

Terdapat laporan yang mendedahkan bahawa Sarri telah menjadi mangsa ejekan perkauman dengan pegawai kejurulatihan Burnley dituduh memanggil pengendali itu dengan gelaran "warga Itali yang tidak berguna".