Pemain sayap Manchester City, Leroy Sane, menjadi sasaran juara Bundesliga, Bayern Munich, demikian presidennya, Uli Hoeness, mengesahkannya.

Pemain berusia 23 tahun itu menyinar sejak berpindah ke Stadium Etihad daripada Schalke tiga tahun lalu, namun sukar menempatkan diri dalam kesebelasan utama pada penghujung kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Bayern mahu mendapatkan pemain sempena penghijrahan Franck Ribery dan Arjen Robben yang sah akan meninggalkan Allianz Arena, akhir kempen ini.

Spekulasi semakin hangat sejak beberapa minggu ini bahawa mereka sedang berusaha memburu khidmat tonggak Jerman berkenaan.

Apabila ditanya Suddeutsche Zeitung mengenai minat Bayern terhadap Sane, Hoeness menjawab: "Kami sedang mempertimbangkannya."

Pendedahan Hoeness itu hadir sehari selepas penyerang, Robert Lewandowski, mendakwa Sane mampu mengangkat pasukan itu ke tahap lebih tinggi secara serta-merta.

Bayern turut dikaitkan dengan bintang RB Leipzig, Timo Werner, dan pemain tengah Atletico Madrid, Rodri.