Pertahanan Tottenham Hotspur, Davinson Sanchez, yakin pasukannya berupaya mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris walaupun Harry Kane dan Dele Alli dilanda kecederaan.

Tiga kemenangan berturut-turut dicatat Spurs untuk dibezakan lima mata dengan pendahulu, Liverpool, selepas 25 perlawanan, sekali gus meletakkan mereka turut bersaing merebut trofi liga bersama The Reds dan juara bertahan, Manchester City.

Sembilan mata itu diraih tanpa kelibat Kane yang dilanda kecederaan di buku lali tatkala Alli mengalami masalah di bahagian paha sebelum Harry Winks menyumbat gol kemenangan ketika menundukkan Fulham 2-1, 20 Januari lalu.

Sanchez percaya pemain seperti Son Heung-Min, Lucas Moura, Erik Lamela dan Fernando Llorente lebih daripada cukup untuk mengisi ketiadaan dua tonggak utama itu.

"Sudah tentu Kane dan Alli adalah pemain penting, mereka tampil cemerlang bersama kami," katanya.

"Namun, kami adalah pasukan yang kuat dan memiliki ramai pemain yang boleh menyerang dan menghasilkan gol seperti Llorente, Heung-Min, Lucas dan Lamela.

"Christian Eriksen juga mampu beraksi di bahagian depan serta menyumbat gol. Pasukan ini mempunyai semangat untuk berjuang dan ia menjadi kunci utama buat kami.

"Llorente juga menjalankan tugas dengan baik. Ia tentang keyakinan.

"Apabila Kane beraksi, sukar untuk Llorente meraih banyak peluang tetapi kini merupakan detik untuk dia membuktikan kualiti. Dia penting untuk pasukan, bukan sahaja musim ini tetapi juga musim lalu."

Heung-Min menjadi perhatian dalam beberapa minggu terakhir tatkala aksinya bersama Korea Selatan untuk Piala Asia menyebabkan dia terlepas tiga perlawanan buat Spurs dalam semua kejohanan.

Pemain berusia 26 tahun itu menjaringkan gol dalam kedua-dua perlawanan sejak kembali dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan kepentingannya bersama pasukan memberi kesan kepada Sanchez.

"Dia sangat penting. Kami menyedarinya apabila dia meninggalkan pasukan untuk Piala Asia tetapi kini kami gembira dia telah kembali. Kane, Alli dan Ben Davies juga berusaha keras untuk memperkuatkan skuad semula."