Pemain Tottenham, Davinson Sanchez, menyifatkan penghijrahannya ke England merupakan satu langkah yang besar dalam kariernya.

Sanchez tiba di London dengan nilai perpindahan EURO40 juta (RM202 juta) selepas mempamerkan persembahan cemerlang bersama Ajax, musim lalu.

Pertahanan kebangsaan Colombia itu telah beraksi untuk gergasi Belanda itu sebanyak 47 kali ketika membantu pasukannya menamatkan saingan di tempat kedua Eredivisie serta layak ke final Liga Europa (UEL).

"Menyertai Tottenham adalah peluang yang besar untuk saya memperkembangkan kebolehan saya, bukan sahaja di England tetapi ke seluruh dunia.

"Ia adalah satu langkah yang besar dalam karier saya dan ia membenarkan saya untuk merangkul kejayaan yang lebih banyak lagi."

Sanchez bakal menyarung jersi nombor 6 bagi musim 2017-18, dengan ketibaannya di kelab itu pada hari yang sama Tottenham mendapatkan seorang lagi penjaga gol baru, Paulo Gazzaniga dari Southampton.

Spurs memulakan musim dengan kemenangan 2-0 ke atas Newcastle United sebelum tewas 2-1 kepada Chelsea.