Sanchez tarik minat, mungkin tinggalkan United 

Oleh Staff Writer 20 Ogos 2019 2723
Sanchez tarik minat, mungkin tinggalkan United 
Ole Gunnar Solskjaer mengesahkan wujud minat terhadap penggempur, Alexis Sanchez, yang dikaitkan dengan pasukan Serie A, Inter Milan.

Sanchez melalui tempoh sukar di United sejak hadir daripada Arsenal pada Januari 2018 dalam perjanjian yang menyaksikan Henrikh Mkhitaryan menyertai The Gunners.

Dia telah menyumbat empat gol dalam 32 penampilan liga buat The Red Devils tatkala tempohnya di United banyak diisi dengan isu kecederaan.

Inter dilaporkan berminat untuk mendapatkan Sanchez secara pinjaman, sekali gus memberi peluang buat penyerang Chile itu bergabung bersama bekas rakan sepasukan di United, Romelu Lukaku.

Tatkala Solskjaer tidak mahu memberikan maklumat lanjut mengenai potensi perpindahan Sanchez, dia menerima pemain berusia 30 tahun itu mungkin keluar dari Old Trafford sebelum jendela perpindahan Eropah tamat pada 2 September ini.

"Masih ada beberapa minggu untuk proses perpindahan," katanya.

"Ada peluang untuk dia berpindah. Beberapa kelab menunjukkan minat terhadap Sanchez dan lihat nanti apa berlaku. Kami tidak boleh dedahkan lebih daripada itu."

Ketika tempoh Sanchez di Old Trafford menuju pengakhiran, seorang lagi penyerang United, Anthony Martial, memulakan musim 2019-20 dengan prestasi cemerlang.

Pemain Perancis itu meledak gol pembukaan di Molineux untuk meraih jaringan peribadi ke-50 dalam semua kejohanan buat United dan Solskjaer memuji impak yang diberikannya.

"Dia menjaringkan dua gol daripada dua perlawanan, jadi dia telah meningkat," tambah pengendali itu.

"Hubungannya dengan Marcus Rashford, Jesse Lingard serta pemain lain akan meningkat.

"Lebih banyak kami dapatkan ruang untuknya menghasilkan gol, lebih jaringan akan dia raih. Dia lebih cenderung untuk menyumbat gol, jadi saya gembira untuknya.

"Ia satu jaringan yang hebat."

United dinafikan untuk meraih tiga mata, sekali gus terlepas peluang menduduki tangga teratas liga selepas Rui Patricio menyelamatkan sepakan penalti Paul Pogba, beberapa minit setelah Ruben Neves memadamkan jaringan pendahuluan Martial.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen