Bintang Liverpool, Mohamed Salah, mendedahkan bahawa dia mahu menyertai gergasi Liga Perdana Inggeris itu sejak enam tahun lalu.

Salah berhijrah ke Anfield daripada AS Roma musim lalu dan dia kini menempatkan dirinya sebagai salah seorang penyerang terbaik dunia dengan 44 gol ketika penampilan musim pertamanya.

Pemain kebangsaan Mesir itu menjelaskan bahawa dia mahu menyertai Liverpool sejak tahun 2012 sebelum dia kemudian menyertai kelab Switzerland, Basel.

"Ketika saya berpindah dari Mesir ke Basel, saya sudah merancang untuk menyertai Liverpool. Saya berharap saya mampu melakukannya satu hari nanti.

"Peluang pernah tiba sebelum ini, namun ia tidak berhasil buat kedua-dua pihak.

"Ketika mereka kembali berminat terhadap saya tahun lalu, saya sangat teruja untuk menyertai Liverpool.

"Kamu perlu tahu apa yang kamu inginkan dan saya berada di sini sekarang," kata Salah kepada laman web rasmi pasukan.

Salah mencuri tumpuan sepanjang musim lalu.

Walaupun tidak memaparkan permulaan yang baik musim ini, dia masih mampu menjaringkan tujuh gol daripada 14 perlawanan.

Penyerang berusia 26 tahun itu turut mempunyai hubungan yang baik dengan pertahanan, Dejan Lovren, dan Salah menjelaskan bagaimana mereka menjalin persahabatan itu.

"Saya mula bertemu Dejan ketika berada di Melwood.

"Ketika minggu kedua saingan pra-musim, kami mula berbual. Kami mula rapat selepas kami ke Dubai ketika waktu rehat pertengahan musim dan ketika di Marbella untuk kem latihan pertama.

"Kini, kami selalu bergurau bersama, kami sangat akrab dan kami suka berseronok.

"Dia selalu menyindir saya di media sosial dan saya sukakannya.

"Saya selalu katakan kepadanya bahawa dia sudah terkenal di Mesir kerana memuat naik gambarnya bersama saya.

"Dia seorang yang baik," kata Salah.