Pemain pertahanan Liverpool, Joel Matip, menyifatkan kehadiran semula Mohamed Salah dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bakal memberikan masalah besar buat semua pertahanan di England.

Bekas pemain sayap Chelsea itu melengkapkan perpindahannya ke Anfield dari AS Roma bulan lalu menerusi transaksi yang dianggarkan mencecah EUR50 juta (RM253 juta), sekaligus memecahkan rekod kelab.

Kehadiran Salah dilihat memberikan tenaga serangan tambahan buat skuad kendalian Jurgen Klopp, menyertai Philippe Coutinho, Sadio Mane, Roberto Firmino serta Adam Lallana dan Matip menjelaskan dia berasa amat lega kerana tidak perlu berhadapan dengan rangkaian serangan tersebut.

“Salah pernah bermain di England. Dia memiliki kemahiran menggelecek yang tinggi serta tempo dan penyudah di depan gol yang hebat, sesuatu yang pastinya memberikan masalah besar kepada setiap pertahanan.

“Kini, kualiti dapat dilihat daripada segenap aspek pada jentera serangan dan sudah tentu ia menyukarkan pihak lawan,” kata Matip.

Liverpool bakal menentang Bayern Munich dalam saingan pra-musim Piala Audi esok selepas berjaya menewaskan Hertha Berlin 3-0, Sabtu lalu dan menyaksikan Salah menjaringkan satu gol.

Matip juga berkongsi pengalamannya berada di bawah tunjuk ajar Klopp selepas melakukan 29 penampilan dalam EPL pada musim pertamanya bersama The Kop.

“Klopp sentiasa mahu setiap pemain memberikan tekanan tinggi dengan serangan yang berterusan menerusi perancangan yang berstruktur.

“Kami bertahan dalam keadaan yang sangat tinggi. Ia bermula daripada penyerang yang cuba menembusi pertahanan dan berada beberapa meter daripada mereka.

“Klopp sangat istimewa. Dia sangat terbuka dan ramah walaupun ketika berdepan masalah. Jika anda melakukan kesilapan, dia akan terus memberitahu anda jalan penyelesaian terbaik,” tambah Matip.